Artis popular tahun 70-an, Rano Karno hari ini secara rasmi diisytihar kalah pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) 2017 setelah Mahkamah Konstitusi (MK) menolak petisyen membantah keputusan pilihan raya yang dikemukakannya.

Media-media dalam talian memetik Ketua Majlis Hakim MK, Arief Hidayat ketika menolak petisyen itu sebagai berkata, pasangan Rano Karno-Embay Mulya Syarif tidak memenuhi syarat untuk membuat petisyen.

Ini kerana berdasarkan Pasal 158 Undang-undang Pilkada, seseorang calon yang hendak mengemukakan bantahan pilihan raya hendaklah mempunyai perbezaan undi sebanyak 1.5 peratus dengan lawannya sedangkan pasangan berkenaan mempunyai perbezaan undi sebanyak 2.5 peratus.

Arief berkata, dengan penolakan itu, pasangan Wahidin Halim-Andika Hazrumy terpilih menjadi gabenor-wakil gabenor Banten.

Pada Februari lepas, Rano Karno yang berpasangan dengan Embay Mulya Syarif gagal mempertahankan jawatannya sebagai gabenor Banten apabila hanya mendapat 49.05 peratus daripada jumlah undi.

Pencabarnya Wahidin dan Hazrumy mendapat 2,411,213 undi manakala Rano-Embay meraih 2,321,323 undi.

Rano yang turut popular di Malaysia adalah seorang pelakon dan penyanyi Indonesia yang dilantik sebagai Gabenor Banten sejak 12 Ogos 2015.

Sebelum itu, beliau adalah naib gabenor dan memangku jawatan gabenor wilayah itu apabila penyandangnya Ratu Atut Chosiyah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan satu kes rasuah. -- BERNAMA