Amerika Syarikat mahu terus meraih sokongan masyarakat antarabangsa sebelum bertindak balas terhadap rejim Bashar Al-Assad yang didakwa menggunakan senjata kimia.

Bagaimanapun Presiden Barack Obama menegaskan kesilapan perang Iraq yang berpunca daripada maklumat perisikan salah perlu dielakkan.

Bagi membolehkan pendekatan ketenteraan lebih berkesan Obama masih mengharapkan Presiden Rusia, Vladimir Putin dapat mengubah pendiriannya berhubung Syria.

“Adakah saya masih berharap Putin mengubah pendiriannya dalam isu ini? Saya sentiasa berharap dan akan terus mendapatkan reaksinya kerana saya fikir tindakan bersama di peringkat antarabangsa adalah lebih berkesan,” jelas Obama.

Tegasnya masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri melihat keganasan dan kekejaman serangan kimia di Ghoutah

“Bila saya melihat 400 kanak-kanak terkena gas, atau 1,400 penduduk awam mati begitu sahaja dan pada masa sama berpuluh-puluh ribu telah pun terkorban, kita masih berpeluang untuk melakukan tindakan yang lebih bermakna walaupun ia tidak menyelesaikan semua masalah. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan masalah. Kita tidak boleh hanya melihat apa yang berlaku dan tidak melakukan apa-apa,” jelas beliau.

Obama juga memberi amaran kegagalan bertindak akan menyebabkan serangan seumpamanya berulang kembali.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt.

Selepas Stockholm Obama berlepas ke St. Petersburg, Rusia bagi menghadiri sidang kemuncak G20.