INTERNATIONAL
Majoriti ibu bapa Australia gesa pemasaran makanan tidak sihat kanak-kanak dikekang

Pakar kesihatan awam di Australia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengiklanan makanan tidak sihat yang menyasarkan kanak-kanak. - Foto hiasan
SYDNEY: Pakar kesihatan awam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengiklanan makanan tidak sihat yang menyasarkan kanak-kanak, berikutan kajian baharu yang menunjukkan 85 peratus ibu bapa dan penjaga di Australia bimbang tentang isu itu, lapor Xinhua.
Kajian yang diterajui Universiti Deakin, yang menjalankan kaji selidik terhadap hampir 4,000 orang dewasa, mendapati sokongan awam yang kuat untuk campur tangan kerajaan bagi melindungi kanak-kanak daripada pemasaran makanan tidak sihat.
Clara Gomez-Donoso, pengarang utama dari Pusat Global Deakin untuk Perlindungan Kesihatan dan Pemakanan berkata lebih 60 peratus responden menyokong larangan sepenuhnya pengiklanan makanan tidak sihat yang ditujukan kepada kanak-kanak. Langkah popular lain termasuk melarang iklan sedemikian di TV sebelum 9 malam dan melarang pakej pembungkusan mengandungi gambar seperti kartun yang diminati kanak-kanak daripada produk tidak sihat.
Pengarang kanan Kathryn Backholer, juga dari Deakin yang juga Naib Presiden Persatuan Kesihatan Awam Australia berkata penemuan itu, yang diterbitkan dalam Jurnal Kesihatan Awam Australia dan New Zealand menunjukkan ibu bapa mempunyai kebimbangan yang sama seperti pakar kesihatan awam tentang sifat meluas pemasaran makanan tidak sihat."Anak-anak kita tidak boleh berjalan ke sekolah, pergi ke kedai atau duduk dan menonton TV tanpa menjadi sasaran pengiklanan makanan tidak sihat," kata Backholer, sambil menyifatkan pendedahan berterusan ini menyumbang kepada peningkatan obesiti kanak-kanak dan penyakit yang boleh dicegah.
Terry Slevin, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Kesihatan Awam Australia, memberi amaran yang obesiti mengatasi tembakau sebagai punca utama penyakit yang boleh dicegah di negara itu, menyifatkannya sebagai "bom jangka".
Jane Martin, Pengurus Eksekutif Food for Health Alliance berpandangan, peraturan kendiri oleh industri makanan, gagal.
Terlalu lama, keuntungan didahulukan daripada menjaga kesihatan kanak-kanak, kata Martin sambil menggesa kerajaan bertindak segera untuk mengekang jumlah dan kuasa pengiklanan makanan tidak sihat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami