KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia bersetuju untuk memperluaskan kerjasama sedia ada bagi membangunkan vaksin menerusi akses kepada teknologi dan pengetahuan yang berkaitan.

Dalam masa yang sama jelas Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, kedua-dua negara juga sedang melihat kemungkinan untuk membuka semula sempadan negara masing-masing.

“Kita bersetuju untuk melebarkan lagi kerjasama dalam soal pembangunan vaksin menerusi akses teknologi berkaitan dan juga pengetahuan dan juga melebarkan kapasiti dan kerjasama membabitkan aspek kesihatan awam .”

“Kita berdua juga cenderung untuk melihat kedua-dua sempadan negara dibuka kembali secepat yang mungkin. Saya rasa Menteri Kesihatan kita akan akan berbincang sesama mereka mengenai hal ini. Kita sangat berharap kita akan boleh merentas kembali tetapi ia perlulah melalui fasa-fasa tertentu yang akan diumumkan nanti,” jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) ke-4 di sini hari ini.

AFMM itu adalah mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik pada 27 Januari 2021.

Selain itu juga kedua-dua negara juga setuju untuk perkukuhkan jalinan kerjasama sedia ada bagi memperkasakan aspek keselamatan dan ancaman siber membabitkan kedua-dua negara.

Menurut Saifuddin, ancaman keselamatan siber di dunia ketika ini telah berubah dan memerlukan kesatuan  daripada kedua-dua negara untuk bekerjasama menangani isu tersebut.

“Isu ancaman keselamatan siber membabitkan banyak sektor termasuk kerajaan dan  swasta selain sektor pertahanan. Jadi saya kira secara dasarnya kami telah bersetuju untuk mula melihat isu ini untuk dibincangkan secara teliti.

“Saya menawarkan golongan agensi profesional yang kita miliki iaitu Cyber Security Malaysia yang mungkin akan menjadi sebagai entiti yang akan memulakan perbincangan nanti,” katanya.

Jelas beliau lagi, perbincangan lanjut mengenai perkara itu juga mungkin akan berlangsung antara Marise ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein malam nanti kerana ia turut membabitkan aspek ketenteraan.

Sementara itu menurut Marise, Australia telahpun memulakan langkah awal menangani isu tersebut dan akan bersama Malaysia untuk memastikan aspek ancaman siber dapat ditangani dengan baik.

“Kami berdua menyedari ancaman ini dan betapa perlunya rakyat kedua-dua negara dijamin keselamatan ketika di atas talian. Ini tentunya termasuk impak membabitkan perkara baik dan buruk dalam media sosial termasuk membabitkan kaum wanita dan tentunya kami akan pastikan kerjasama dengan kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan tiga teras utama hubungan dua hala kedua-dua negara iaitu kemakmuran ekonomi, teknologi dan pertahanan dan keselamatan serantau.

Antara agenda lain termasuklah proses fasa pemulihan kedua-dua negara dalam menghadapi Pandemik COVID-19 termasuk akses perolehan vaksin selain cabaran dalam menghadapi aspek kesihatan mental.