Skip to main content

Dunia

'Thalapathy' Vijay dijangka angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu pada Sabtu

FILE PHOTO: Actor-turned-politician Vijay, president of Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), waves as he arrives at his party’s office, a day after the Tamil Nadu assembly election results, in Chennai, India, May 5, 2026. REUTERS/Riya Mariyam R/File Photo
Meskipun kemenangan Vijay membentuk kerajaan Tamil Nadu merupakan satu 'kejutan' namun ia dilihat sebagai menyambung tradisi panjang negeri itu yang menyaksikan dunia hiburan dan politik saling berkait rapat sejak beberapa dekad lalu. - Gambar REUTERS

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Vijay dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Sabtu susulan kemenangan besar parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), dalam pilihan raya negeri baru-baru ini. 

Memetik India Today, upacara angkat sumpah itu dijangka berlangsung pada pukul 11 pagi waktu tempatan (1.30 petang waktu Malaysia) 

Difahamkan, perkara itu dimuktamadkan selepas Vijay mengadakan pertemuan dengan Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Arlekar di Lok Bhavan, Chennai pada Jumaat. 

Dalam pertemuan itu, Vijaya yang dikenali sebagai Thalapathy dalam kalangan peminatnya dikatakan menyerahkan surat sokongan daripada 118 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus memenuhi angka majoriti minimum dalam Dewan Perhimpunan Tamil Nadu yang mempunyai 234 kerusi. 

TVK yang memenangi 108 kerusi pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lalu berjaya mengukuhkan kedudukan selepas memperoleh sokongan beberapa parti termasuk Kongres, Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK), Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxis) iaitu CPI (M) serta Indian Union Muslim League (IUML). 

Sokongan tambahan itu menjadikan kerajaan pimpinan TVK memiliki keseluruhan 120 ADUN. 

Sebelum ini, TVK memperoleh sokongan lima ADUN Kongres selain masing-masing dua wakil daripada CPI, CPI(M) dan VCK. 

CPI(M) turut mengemukakan surat sokongan tanpa syarat dengan menyifatkan langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik dan menghormati mandat rakyat. 

Presiden Kongres, Mallikarjun Kharge serta Ahli Parlimen parti itu, Rahul Gandhi yang merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi dijangka menghadiri majlis angkat sumpah Vijay. 

Ini merupakan kunjungan ketiga Vijay kepada Rajendra Arlekar dalam tempoh tiga hari selepas diminta membuktikan sokongan majoriti pada dua pertemuan terdahulu. 

Dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, Vijay mencipta kejutan besar apabila TVK yang pertama kali bertanding berjaya memenangi 108 kerusi namun gagal mencapai majoriti mudah. 

Pelakon-politik itu turut memenangi kerusi Perambur dan Tiruchirappalli East dan dijangka mengosongkan salah satu kerusi berkenaan mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya India. 

Keputusan tergantung yang diumumkan pada 4 Mei lalu mencetuskan rundingan intensif antara parti-parti politik, termasuk usaha Presiden Kongres mengadakan rundingan dengan pimpinan VCK dan IUML bagi mengukuhkan sokongan kepada TVK. 

Langkah Kongres menyokong TVK turut mencetuskan ketegangan dengan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK), dengan beberapa pemimpin kanan parti itu mendakwa gabungan pembangkang INDIA kini berdepan keretakan susulan perkembangan politik di Tamil Nadu. 

Walaupun kemenangan Vijay atau nama sebenarnya Joseph Vijay Chandrasekhar membentuk kerajaan Tamil Nadu dilihat sebagai 'kejutan' politik, namun ia dilihat sebagai menyambung tradisi panjang negeri itu yang menyaksikan dunia hiburan dan politik saling berkait rapat sejak beberapa dekad lalu. 

Tamil Nadu bukan asing dengan kebangkitan figura filem menjadi pemimpin politik berpengaruh. 

Daripada M. G. Ramachandran (MGR), J. Jayalalithaa hingga M. Karunanidhi yang kuat dengan dunia seni dan penulisan, landskap politik negeri itu sering dibentuk pengaruh budaya popular dan hubungan emosi antara selebriti dengan rakyat. 

Pengaruh filem Tamil yang sangat dekat dengan masyarakat menjadikan pelakon bukan hanya penghibur, tetapi simbol perjuangan, keadilan dan harapan rakyat marhaen. 

MGR misalnya membina legasi melalui imej 'hero rakyat miskin' yang dibawanya di layar perak sebelum diterjemahkan ke dalam politik. 

Jayalalithaa pula berjaya menggabungkan karisma, kekuatan pentadbiran dan pengaruh emosi sehingga digelar 'Amma' oleh penyokongnya. 

Vijay dilihat mewarisi sebahagian formula sama, mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda, imej anti-establishment dan keupayaan menggerakkan sokongan akar umbi melalui budaya peminat.

Must Watch Video