Malaysia hari ini melahirkan kebimbangannya dan membantah keras pendirian terbaru Amerika Syarikat terhadap Palestin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) hari ini, Malaysia menyatakan keyakinannya bahawa pendirian Amerika itu bercanggah dengan usaha mencapai penyelesaian menyeluruh dan berpanjangan bagi konflik Palestin-Israel.

"Ia akan menggagal dan menjejaskan usaha masyarakat antarabangsa untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Malaysia seterusnya menyifatkan tindakan-tindakan oleh Amerika sebagai mencabuli hak-hak rakyat Palestin dan perjuangan mereka ke arah pemerintahan sendiri.

"Ia akan membakar sentimen dan menggagalkan sebarang rundingan ke arah perdamaian pada masa akan datang," katanya.

Dalam tempoh beberapa minggu lepas, kerajaan Amerika telah menghentikan bantuan dua halanya kepada Palestin berjumlah lebih AS$200 juta; menghentikan sumbangan kepada Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA); dan mengeluarkan arahan menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington.

Kerajaan Amerika juga memberi alasan bahawa arahan penutupan itu adalah disebabkan untutan Palestin supaya siasatan dijalankan ke atas Israel oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Wisma Putra dalam kenyataan itu juga berkata tindakan kerajaan Amerika itu telah melemahkan sistem multilateral; menafikan realiti di lapangan; menyokong dan membantu Israel melakukan kekejaman dan dasar-dasar yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa; serta mencabuli hak-hak rakyat Palestin.

Kesemuanya adalah turutan daripada keputusan kerajaan Amerika untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan langkah berikutnya untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak.

Ekoran perkembangan terbaru itu, Wisma Putra berkata Malaysia menggesa masyarakat Islam supaya terus menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dan berharap lebih banyak sokongan diterima untuk menamatkan pendudukan paling lama dalam sejarah moden itu.

Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil segala bentuk tindakan termasuk daripada segi undang-undang, politik, diplomatik dan ekonomi untuk memberi tekanan ke arah tercapainya perdamaian di rantau tersebut, katanya.

"Perjuangan rakyat Palestin bukan perjuangan umat Islam semata-mata, tetapi juga perjuangan semua pihak yang mempercayai sistem multilateral.

"Kita wajib mempertahakan hak untuk pemerintahan sendiri yang sah, yang merupakan dalah satu asas utama pembentukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu," katanya.

Malaysia mengulangi pendirian tegasnya bahawa penyelesaian ke arah pembentukan dua negara, di mana rakyat Palestin dan Israel dapat hidup aman damai bersama-sama, berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, sebagai satu-satunya jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel itu.

-- BERNAMA