JAKARTA: Malaysia mahu negara kuasa besar berkerjasama memastikan rantau ini kekal aman dan terus bebas daripada ancaman senjata nuklear melalui platform ASEAN.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata dialog dan kerjasama penting bagi memastikan rantau ini stabil dan makmur di tengah kemelut geopolitik yang semakin meruncing.

"Saya telah mendesak kuasa-kuasa besar agar menangani perbezaan pendapat di kalangan mereka secara sihat dan bertanggungjawab termasuk melalui mekanisme yang diterajui ASEAN seperti ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP)," katanya dalam sidang media.

Beliau turut menggesa negara-negara bersenjata nuklear segera menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Menurutnya, China telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani dan meratifikasi protokol SEANWFZ tanpa pengecualian.

Negara-negara bersenjata nuklear seperti United Kingdom, Rusia dan Amerika Syarikat telah menyatakan kesediaan mereka untuk berbincang dengan ASEAN berhubung perkara ini.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara yang berulang kali termasuk pada Rabu hingga mengancam keamanan antarabangsa, serta menggesa program nuklear dan peluru berpandunya dihentikan serta-merta.

Zambry tiba di sini pada Selasa untuk menghadiri 17 mesyuarat antara ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN termasuk Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-56, Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur, dan Forum Serantau ASEAN.

Kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat yang berakhir semalam dimuktamadkan di dalam Kenyataan Bersama (Joint Communique) yang telah disiarkan.

Mengenai Myanmar, Zambry berkata sebarang sesi libat urus yang diadakan dengan pihak Myanmar tidak harus membawa maksud bahawa ASEAN mengiktiraf keabsahan (legitimacy) pihak berkuasa Myanmar.

Dalam isu Islamofobia, beliau menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap ketidakpekaan dan cubaan menghasut kebencian seperti tindakan membakar naskhah Al-Quran di beberapa negara.

"Sifat perkauman, tidak bertolak ansur dan prejudis serta perbuatan memusnahkan kitab-kitab suci sebarang agama adalah satu tindakan biadab dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya," katanya.

Menyentuh isu Palestin, Zambry menyeru kuasa-kuasa besar supaya konflik itu diberikan perhatian yang sama seperti konflik-konflik lain yang sedang berlaku di dunia ini.

"Ini satu sikap diskriminatif negara-negara tertentu yang kerap mengecam konflik di negara lain tetapi terus melindungi rejim Israel," katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Zambry menyatakan isu-isu berkenaan perlu ditangani secara damai dan rasional menerusi dialog dan rundingan menggunakan saluran diplomatik.

Beliau kecewa apabila pendirian ASEAN mengenai isu Laut China Selatan tidak diambil kira oleh Mesyuarat Menteri-menteri Pergerakan Negara-negara Berkecuali di Azerbaijan baru-baru ini.

Mengenai minyak kelapa sawit, Zambry memaklumkan mesyuarat mengenai pembentukkan pasukan petugas bersama Malaysia, Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) bagi mengkaji dan mencari penyelesaian yang saling menguntungkan.

Beliau menzahirkan kebimbangan Malaysia mengenai impak daripada Peraturan Penyahhutanan EU (EU Deforestation Regulation-EUDR) ke atas sektor komoditi terutamanya minyak sawit dan pekebun-pekebun kecil dari negara-negara pengeluar ASEAN.

Di mesyuarat kali ini, Zambry mengadakan 11 pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dari Singapura, Arab Saudi, India, Timor-Leste, Jepun, Norway, Kanada, United Kingdom, Bangladesh, Mongolia dan Amerika Syarikat untuk membincangkan isu-isu dua hala membabitkan ekonomi dan sosio-budaya.

Beliau berkata kehadiran rakan dialog adalah manifestasi kepada keupayaan ASEAN sebagai 'convening power' yang berupaya membawa kuasa-kuasa dunia dan serantau ke meja rundingan.

Rakan-rakan dialog ASEAN adalah Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Kanada, Kesatuan Eropah, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan United Kingdom.

Zambry berkata pendirian Malaysia pada mesyuarat kali ini berlandaskan dasar 'Masyarakat Madani' selaras usaha kerajaan menterjemahkan nilai-nilai Madani di dalam pembinaan Komuniti ASEAN.

"Malaysia, yang akan mempengerusikan ASEAN 2025 akan terus mengekalkan momentum yang positif ini dan memastikan bahawa suara Malaysia terus lantang di persada antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA