Malaysia mengikrarkan AS$500,000 (RM1.64 juta) pada Persidangan Ikrar Kemanusiaan Antarabangsa untuk Syria bagi memenuhi keperluan kemanusiaan mendesak di dalam dan luar Syria.

Dalam pengumuman ikrar itu di sini, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Pelbagai Hala, Kementerian Luar Datuk Ho May Yong mengumumkan kerajaan Malaysia berikrar untuk membantu 11.6 juta rakyat Syria yang berdepan krisis kemanusiaan di negara itu dan negara-negara berjiran.

"Sebagai tanda sokongan terhadap usaha untuk menangani keperluan kemanusiaan kritikal rakyat Syria, Malaysia dengan ini mengikrarkan sumbangan sebanyak AS$500,000 untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Syria.

"Kami berharap usaha bersama kami hari ini akan membawa sinar harapan kepada rakyat Syria dan menghantar mesej jelas kepada pihak-pihak terlibat dalam konflik untuk menyelesaikan pertikaian dan mengusahakan perdamaian secara aman demi rakyat Syria," katanya.

Dalam satu kenyataan, Ho berkata Malaysia amat sedih dengan peningkatan jumlah rakyat Syria yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat krisis dan keganasan yang semakin memuncak di Syria.

Katanya keganasan berterusan di Syria telah menyebabkan ribuan rakyat terbunuh manakala ribuan lagi cedera dan kehilangan tempat tinggal sehingga memaksa mereka mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran iaitu Lubnan, Jordan, Turki, Iraq dan Mesir.

Menyatakan kebimbangan Malaysia dengan tahap krisis kemanusiaan dan impak negatifnya ke atas rantau itu, Ho berkata Malaysia menggesa semua pihak terlibat dalam konflik itu agar berusaha mencari penyelesaian secara aman dan merayu semua pihak menghentikan pertumpuhan darah.

"Malaysia berharap keamanan akan kembali pulih di Syria dan menggesa semua pihak terlibat bekerjasama demi kepentingan rakyat Syria," katanya.

Sementara itu, persidangan ikrar kali kedua itu menyaksikan negara tuan rumah, Kuwait, menjadi penyumbang terbesar setakat 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) Rabu, mengikrarkan AS$500 juta, diikuti Amerika Syarikat sebanyak AS$380 juta.

Negara-negara Arab setakat ini mengumpul AS$133 juta dengan Arab Saudi dan Qatar masing-masing mengikrarkan AS$60 juta diikuti Iraq AS$13 juta.

Persidangan sehari itu menyaksikan 69 negara dan lebih 24 organisasi serantau mengambil bahagian dalam usaha mengumpul bantuan kewangan untuk rakyat Syria.

Jurucakap Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Jens Laerke berkata, situasi di Syria semakin meruncing.

Ketika ini terdapat kira-kira 9.3 juta penduduk di Syria yang memerlukan bantuan kemanusiaan manakala 2.3 juta menjadi pelarian di negara-negara berjiran, katanya.