PHNOM PENH: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin selama 65 tahun antara Putrajaya dan Phnom Penh dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Kedua-dua negara mengakui akan kepentingan untuk meningkatkan lagi perdagangan dan masih ada ruang yang besar untuk menjayakannya.

Malaysia berminat untuk menjual tanaman emasnya, minyak sawit ke Kemboja dan begitu juga Phnom Penh yang menawarkan untuk mengeksport lebih banyak beras ke Malaysia, yang dipercayai boleh membantu meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi US$500 juta (US$1 = RM4.18) pada 2021, peningkatan 13.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Kemboja ke Malaysia berjumlah US$101 juta pada 2021, naik 2.62 peratus daripada US$98 juta pada 2020, manakala import meningkat 16.16 peratus kepada US$399 juta daripada US$343 juta tahun sebelumnya.

Kemboja juga mahu syarikat Malaysia menimbang kemungkinan melabur dalam aktiviti perkilangan beras memandangkan negara itu merupakan satu daripada pengeluar beras terbaik di dunia.

Ismail Sabri menekankan lagi hubungan erat antara kedua-dua negara dengan menyatakan bahawa: "Bagi Malaysia, Kemboja merupakan jiran yang penting dan anggota keluarga ASEAN. Malaysia dan Kemboja sentiasa saling menyokong antara satu sama lain dalam sebarang situasi, ketika susah dan senang."

Perdana Menteri Kemboja Samdech Techno Hun Sen turut berpandangan yang sama.

Ismail Sabri juga mengimbau kembali keterlibatan Malaysia dalam setiap fasa (Pemerintahan Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja - UNTAC) susulan pemeteraian Perjanjian Keamanan Paris 1991.

"Saya gembira kerana Malaysia telah menyumbang ke arah tercapainya keamanan di Kemboja. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja.

"Saya yakin kedua-dua negara akan terus berusaha untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada dan dalam masa yang sama, mendukung keamanan, kestabilan dan kemakmuran demi kebaikan rakyat dan rantau ini," kata beliau selepas pertemuan empat mata bersama Hun Sen.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan tentang pelbagai isu kepentingan bersama yang melibatkan serantau dan juga antarabangsa.

Malaysia merupakan pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai US$3.53 bilion dari 1994-2020, selepas China dan Korea Selatan. Pelaburan Malaysia terutamanya adalah dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan.

Selain menarik lebih banyak pelaburan dari Putrajaya, Kemboja juga berminat untuk menghantar pekerja domestik ke Malaysia. Daripada 2 juta pekerja asing yang berdaftar di Malaysia, hanya 1,900 merupakan rakyat Kemboja yang mana 1,065 daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.

"Kita ada memorandum persefahaman (MoU) dengan Kemboja dalam hal ini dan berhasrat untuk mengkajinya semula bagi memudahkan pengambilan lebih ramai pekerja asing dari Kemboja," kata Ismail Sabri pada akhir lawatan dua hari beliau.

Antara lain, katanya, Malaysia mengalu-alukan pembukaan sempadan antarabangsa Kemboja baru-baru ini dan negara juga akan memaklumkan tentang status pembukaan sempadan negara dalam masa terdekat.

"Jika rancangan untuk membuka sempadan ditangguhkan, kita kemungkinan boleh mengusahakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) sehala bagi rakyat Kemboja untuk datang ke Malaysia kerana sempadan Kemboja telahpun dibuka," katanya.

Langkah ini dijangka memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara terutaamanya bagi kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Kemboja.

Ismail Sabri berkata beliau juga telah mencadangkan kepada Hun Sen agar Malaysia membantu Kemboja untuk membangunkan peranti atau aplikasi yang membantu menguruskan COVID-19 di peringkat kebangsaan seperti MySejahtera.

"Ini dapat membantu memudahkan rakyat Kemboja untuk tujuan perjalanan antarabangsa kelak. Pihak Kemboja mengalu-alukan cadangan kita ini," katanya.

Secara keseluruhannya, Ismail Sabri berkata beliau berpuas hati dengan hasil daripada lawatan sulungnya ke Kemboja apabila menyatakan kunjungan rasmi itu mencapai kejayaan besar.

"Saya amat gembira dengan hasil lawatan rasmi sulung saya ke Kemboja. Lawatan saya ini adalah tanda pentingnya Kemboja sebagai sebuah negara jiran dan rakan seanggota dalam keluarga ASEAN.

"Saya juga gembira kerana dapat bertutur dalam Bahasa Malaysia di sepanjang lawatan rasmi ini dalam usaha kita bersama untuk memartabatkan bahasa kebangsaan." ujarnya.

Kemboja yang menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean 2022, merupakan negara keempat di Asia Tenggara yang dilawati Ismail Sabri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.

Terdahulu sebelum ini beliau melawat Indonesia, Singapura dan Brunei dan bakal ke Thailand seterusnya.

-- BERNAMA