PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan perbuatan provokatif membakar Kitab Suci Al-Quran di Stockholm pada Rabu.

Justeru, Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku jenayah kejam itu dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di Sweden.

"Tindakan mencemarkan Kitab Suci Al-Quran, tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, merupakan penghinaan kepada umat Islam di seluruh dunia dan melanggar prinsip sejagat menghormati dan memahami semua agama dan Kitab Suci mereka," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan telah mengoyak senaskah al-Quran dan membakarnya di hadapan masjid Stockholm semasa demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.

Tindakan keji itu telah mencetuskan kemarahan dan kecaman daripada umat Islam dan negara-negara Islam seluruh dunia.

Kementerian Luar berkata ketiadaan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Sweden dalam membendung tindakan provokatif ini boleh membawa kesan yang buruk terhadap hubungannya dengan umat Islam di seluruh dunia

Keputusan mahkamah Sweden untuk membenarkan perbuatan keji ini berulang lagi bukanlah satu langkah yang progresif dalam usaha untuk meningkatkan rasa hormat dan persefahaman demi kebaikan umat manusia, menurut kenyataan itu.

Ini merupakan kali kedua tindakan keji sedemikian berlaku di Sweden tahun ini, selepas insiden pertama yang berlaku pada Januari 2023.

Malaysia turut mengulangi gesaannya supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) mengambil tindakan segera dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

-- BERNAMA