Skip to main content

Dunia

Malaysia, Maldives tingkat kerjasama maritim dan keselamatan laut - PM Anwar

Fath Rizal & Prime Minister’s Office of Malaysia
Anwar berkata, kerajaan Maldives memberi keutamaan tinggi terhadap pengukuhan pertahanan maritim, termasuk latihan bersama serta kesediaan menilai aset kapal-kapal kecil keluaran Malaysia bagi kegunaan keselamatan sempadan perairan mereka. - Gambar PMO
Advertisement

MALÉ: Status strategik Maldives sebagai negara maritim membuka laluan penting bagi pengukuhan kerjasama pertahanan laut bersama Malaysia, di samping hubungan kemanusiaan kedua-dua negara yang terus diperkukuh menerusi pelonggaran kekangan visa bagi rawatan perubatan dan pendidikan rakyat republik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Maldives memberi keutamaan tinggi terhadap pengukuhan pertahanan maritim, termasuk latihan bersama serta kesediaan menilai aset kapal-kapal kecil keluaran Malaysia bagi kegunaan keselamatan sempadan perairan mereka.

"Pertamanya, ia negara maritim dan sangat memberi keutamaan dalam bidang kerjasama maritim dan juga upaya, kalau ada jenis kapal kecil kita bangunkan, dia bersedia untuk mempertimbangkan.

"Ini di samping kerjasama dalam bidang keselamatan, latihan, sekuriti dan keselamatan laut untuk kita teruskan," kata beliau pada sidang media penutup lawatan rasminya di sini, hari ini.

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Malé, Maldives merupakan fasa lanjutan daripada siri diplomasi antarabangsa beliau selepas memuktamadkan lawatan kerja empat hari ke India merangkumi New Delhi dan Keralam.

Sepanjang berada di republik kepulauan itu, fokus perbincangan tertumpu kepada pengukuhan kerjasama maritim, inisiatif ekonomi menerusi rundingan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA), pertimbangan kemudahan pinjaman mudah USD100 juta, serta perluasan ekosistem pensijilan halal dan pengurusan wakaf.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan meneliti soal kebajikan rakyat Maldives di Malaysia, khususnya mereka yang berdepan kekangan birokrasi imigresen ketika menghantar anak menyambung pengajian mahupun mendapatkan rawatan perubatan kritikal.

Mengulas isu permohonan penjaga serta anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) dari Maldives yang berdepan kesukaran pas atau visa, Perdana Menteri memberi komitmen bahawa Putrajaya akan mempermudah dan melonggarkan peraturan terbabit atas pertimbangan kemanusiaan.

"Ini masalah yang dia jadikan. Kalau anak dia belajar, kita bagi kurangkan, ibu bapa dia jaga. Kemudian kalau anak dia yang OKU, kadang-kadang dia sanggup bayar, tetapi manakala kadang-kadang kita tak berikan, dan berhak kecil. Jadi kita baikilah.

"Kita tidak fikir hal yang melibatkan sebelas, dua puluh orang pesakit menjadi beban kepada kita. Dalam hal kesihatan dan pendidikan, banyak yang mereka sendiri keluarkan bayaran sendiri, walaupun kita beri sedikit pelonggaran, cuma tidak terlalu tinggi," jelas beliau.

Tegas Anwar, kesediaan Malaysia mempermudah urusan terbabit adalah atas rasa bangga dan menghargai kepercayaan rakyat republik itu yang terus memilih Malaysia sebagai destinasi utama perkhidmatan rawatan dan institusi ilmu berbanding negara-negara jiran lain.

"Kerana kita bangga kerana di antara negara yang dipilih tentang jiran dan sebagainya, dia pilih Malaysia," tambah beliau lagi.

Perincian berkaitan mekanisme pemudah cara visa perubatan, keselamatan maritim, serta sektor teras lain, kata Perdana Menteri, akan diselaraskan menerusi mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission) Malaysia-Maldives yang julung kalinya bakal dipengerusikan di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Must Watch Video

Advertisement