KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan kepada penggunaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi menangani jenayah alam sekitar terancang, berbanding meminda Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan pendekatan itu mengambil kira aktiviti pengimportan dan pelupusan haram buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang berkemungkinan melibatkan sindiket penyeludupan serta pengubahan wang haram.
Menurut NRES, peruntukan AMLA menyediakan instrumen penguatkuasaan yang luas untuk menjejaki aliran kewangan serta membekukan, menyita dan melucutkan hak harta yang berkaitan dengan aktiviti haram, tertakluk kepada syarat dan tatacara yang ditetapkan di bawah akta tersebut.
“Berdasarkan pindaan berkenaan pada 2025 yang telah berkuat kuasa 1 Mac 2026, takrifan ‘kesalahan berat’ diperluas untuk merangkumi kesalahan di bawah undang-undang Persekutuan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama satu tahun atau lebih.
“Ini merangkumi kesalahan berkaitan buangan terjadual di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS), sekali gus membolehkan tindakan di bawah AMLA diambil apabila elemen kesalahan berkaitan dipenuhi,” menurut NRES dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai status terkini hasil rundingan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meminda Jadual Pertama POCA 1959 untuk memasukkan takrifan jenayah alam sekitar terancang berkaitan isu e-waste serta jangka masa pembentangan rang undang-undang tersebut di Parlimen.
NRES berpandangan peruntukan AMLA sedia ada, jika dilaksanakan sepenuhnya di bawah bersama AKAS, ia akan menyediakan kerangka penguatkuasaan yang memadai untuk menangani aspek kewangan dan keuntungan daripada kegiatan haram berkaitan e-waste.
Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan membolehkan tindakan diambil bukan sahaja terhadap pelaku kesalahan, malah rangkaian serta pihak yang memperoleh manfaat kewangan daripada kegiatan haram tersebut.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang memperhalusi kesiapsiagaan pelaksanaan AMLA, termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP), latihan berkala serta pengukuhan kapasiti dan kepakaran pegawai.
“JAS juga sedang bekerjasama dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan agensi penguatkuasaan lain bagi melaksanakan operasi bersepadu serta menyokong penyiasatan kewangan berkaitan jenayah alam sekitar,” menurut kementerian itu.
NRES berkata JAS juga memperketatkan penguatkuasaan melalui AKAS (Pindaan) 2024 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta dan penjara mandatori sehingga lima tahun bagi kesalahan pelupusan buangan terjadual secara haram.
-- BERNAMA