SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia awal 20-an yang diserang dan ditetak di Banting, Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 12.01 tengah malam tadi.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan di sekitar Banting.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam, bagaimanapun hubungan antara suspek dan mangsa masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menerusi talian 03-3187 2222 atau balai polis berdekatan.
-- BERNAMA