Malaysia mengutuk serangan pengganas di Perancis, Tunisia dan Kuwait yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa pada Jumaat, kata satu kenyataan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri.

“Walaupun masih belum ada bukti yang jelas bahawa serangan ke atas sebuah kilang kimia di Perancis, sebuah pusat peranginan tepi laut di Tunisia dan satu letupan bom di dalam sebuah masjid di Kuwait adalah saling berkaitan, namun tindakan keganasan ini adalah satu petunjuk bahawa keganasan terus menimbulkan ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

BACA: Najib kutuk serangan ke atas orang awam di Perancis, Kuwait, Tunisia

Tambah kenyataan itu lagi, terdapat keperluan mendesak untuk mempercepatkan usaha-usaha global bagi memerangi dan menentang keganasan.

“Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan orang tersayang,” kata kenyataan tersebut.

Buat masa ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam mana-mana kejadian berkenaan.

Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, hampir 40 orang termasuk pelancong asing terbunuh di sebuah pantai peranginan Tunisia berkiyutan serangan sekumpulan pengganas.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab dengan insiden itu yang disifatkan paling buruk dalam sejarah negara tersebut.

BACA: Serangan Tunisia: Militan IS mengaku bertanggungjawab


BACA: Serangan Tunisia: 17 mayat dikenal pasti, pelancong tinggalkan Tunisia