MALAYSIA
Sultan Pahang rasmi Program Road Tour Skor A+ SPM, Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni pelajar pada Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 di UMPSA Gambang di sini hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang di sini.
Ringkasan AI
- Sultan Pahang rasmikan Program Road Tour Skor A SPM dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 di UMPSA Gambang, serta titah ucapan semangat kepada calon SPM.
- Lebih 2,000 calon SPM sertai seminar dua hari anjuran YASA dengan kerjasama PTTI, fokus kepada strategi pembelajaran, teknik menjawab dan motivasi.
- Program tuisyen komuniti bantu pelajar B40 dan asnaf di Kuantan dan Pekan, dengan sokongan pensyarah UMPSA dan fasiliti komuniti.
"Selamat maju jaya dalam peperiksaan akan datang dan semoga semua penuntut peperiksaan ini akan berjaya dengan cemerlang sekali, sekurang-kurangnya A+.
"Kegagalan bukan pilihan. Ingat, dalam apa segala kerja, kita mesti buat kerja itu sebaik mungkin dan mesti berjaya," titah baginda sebelum berangkat pulang.

Peserta mengikuti Program Road Tour Skor A+ SPM Pahang dan Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang. - Foto Bernama
Sementara itu, Pengurus Besar YASA Mohd Fakhrul Islam Juhali berkata lebih 2,000 calon SPM dari seluruh negeri mengikuti seminar Road Tour Skor A+ SPM Pahang selama dua hari, bermula hari ini.
Beliau berkata program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama strategik PTTI Group Sdn Bhd itu, menumpukan kepada strategi pembelajaran berkesan, teknik menjawab soalan dan pengukuhan motivasi kepada pelajar.
"Sejajar dengan titah harapan Sultan Pahang untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, YASA dan PTTI turut merangka kesinambungan inisiatif melalui Seminar School Tour Skor A+ SPM yang bakal menjelajah 198 sekolah menengah di seluruh negeri bermula Januari hingga Jun 2026," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau berkata Tuisyen Komuniti YASA-UMPSA 2025 yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan UMPSA itu adalah bagi membantu pelajar SPM di daerah Kuantan dan Pekan, khususnya golongan B40 serta asnaf.
"Program ini dilaksanakan secara berfasa pada hujung minggu atau sesi petang dan malam di lokasi komuniti dengan sokongan pensyarah dan sukarelawan UMPSA, serta fasiliti yang diperkasakan melalui rakan kolaborasi setempat," katanya.
Mohd Fakhrul Islam berkata penglibatan Sultan Pahang dalam program berkenaan mencerminkan keprihatinan baginda terhadap masa depan anak negeri.
"Keberangkatan dan restu baginda menjadi sumber ilham serta kekuatan kepada anak-anak Pahang untuk gigih berusaha mencapai kecemerlangan SPM," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami