JAKARTA: Negara-negara ASEAN disaran untuk meningkatkan perdagangan serantau, yang kini hanya pada peringkat 22.3 peratus sahaja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu menyampaikan ucapan pencelahan di hari pertama sesi awal Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, beliau berkata, integrasi ekonomi antara negara serantau perlu diperhebatkan lagi ke arah penghasilan pelan ekonomi yang lebih cergas, inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata, di sebalik ketidakstabilan ekonomi global, ASEAN mempunyai kombinasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menghampiri AS$3 trilion (RM14 trilion), menjadikan rantau ini ke-lima terbesar dari segi ekonomi global, dan bakal menjadi ke-empat menjelang 2030.

“Perjanjian persefahaman strategik yang lebih hebat perlu dilaksanakan untuk mengembangkan integrasi pasaran dan memudah cara pergerakan barangan, kapital, tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan perkongsian teknologi dengan negara ASEAN dan rakan luar.

“Malaysia bersedia untuk memberi sumbangan melalui Rangka Kerja Ekonomi MADANI, yang turut mengandungi langkah ke arah meningkatkan perkembangan ekonomi, mempromosi pelaburan, dan mengukuhkan industri untuk menjadi lebih inovatif, kompetifif, dan mampu berkembang ke pasaran serantau dan global,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Visi Komuniti ASEAN 2045, Anwar berkata, ia menyediakan garis panduan strategik jangka panjang untuk merealisasikan konsep Komuniti ASEAN, yang mampu memberi tindak balas efektif kepada peluang dan cabaran masa kini dan masa hadapan.

“Saya berharap agar kita boleh bersetuju untuk membenarkan sedikit fleksibiliti bagi sebarang perubahan terhadap visi tersebut, antara sekarang hingga masa pelaksanaannya pada 2025,” katanya lagi.