Skip to main content

Dunia

Mangsa hilang banjir Nepal-China melepasi 2,400 orang, operasi menyelamat berdepan risiko baharu

Nepalese policemen watch as earthmovers clear the debris of flash flooding in Nepal's Nuwakot district, Thursday, Aug 27, 2026. (Photo: AP/Niranjan Shrestha)
Anggota polis Nepal memerhati jentera pengorek membersihkan timbunan sisa dan lumpur akibat banjir kilat di daerah Nuwakot, Nepal, pada Khamis lalu. - Gambar AP
Advertisement

NUWAKOT, NEPAL: Jumlah mangsa yang masih hilang akibat bencana banjir besar di Nepal dan China meningkat melepasi 2,400 orang pada Jumaat, memperlihatkan skala kemusnahan luar biasa beberapa hari selepas gelombang air dan serpihan lumpur menyerupai tsunami menghanyutkan perkampungan serta meragut ratusan nyawa.

Pasukan penyelamat terus berdepan cabaran sukar untuk menembusi kawasan berlumpur bagi mencari mangsa yang terselamat, ketika ancaman banjir baharu masih membayangi operasi kecemasan. 

Setakat ini, sebanyak 586 mayat telah ditemukan, manakala sebahagian lagi dipercayai dihanyutkan arus sehingga ke India.

Pihak berkuasa bencana Nepal turut menambah 933 pekerja sektor hidroelektrik ke dalam senarai orang hilang yang sebelum ini merangkumi pendaki dan jemaah yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash di Tibet.

Di Kathmandu, ahli keluarga mangsa memenuhi hospital dan pusat operasi kecemasan dalam usaha mencari insan tersayang, sementara poster memaparkan gambar serta nama individu yang hilang memenuhi dinding bangunan.

“Ini sudah hari ketiga dan kami masih tidak tahu apa-apa. Kami berharap dia berada di tempat yang selamat,” kata Samjhana Thing, 27, merujuk kepada abangnya yang masih hilang.

“Kami kehilangan segala-galanya. Dialah segala-galanya bagi kami,” tambahnya.

Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), bencana yang disifatkan sebagai paling dahsyat melanda Nepal sejak gempa bumi 2015 itu berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran besar ais, batu dan lumpur.

Aliran deras tersebut turut membentuk beberapa tasik baharu yang kini menjadi ancaman langsung kepada pasukan kecemasan yang sedang menyisir kawasan terjejas untuk mencari mangsa terselamat.

Polis Nepal menggesa semua anggota penyelamat berpindah segera ke lokasi selamat selepas menerima maklumat bahawa satu lagi empangan air di wilayah Tibet dilaporkan pecah.

Di Tibet, China terpaksa menggantung sementara operasi menyelamat di daerah Gyirong, kawasan yang paling teruk terjejas, susulan risiko banjir berulang sebelum memaklumkan bahawa ancaman itu kemudiannya beransur reda.

Media rasmi China melaporkan sebuah tasik yang terbentuk akibat timbunan besar serpihan mula melimpah ke arah laluan pasukan penyelamat, namun paras airnya kemudian menurun, membolehkan operasi diteruskan secara teratur.

Presiden China, Xi Jinping yang mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan usaha menyelamat, turut menawarkan bantuan Beijing kepada Nepal bagi memperkukuh operasi kecemasan.

Image
Drone view of a broken bridge and damaged houses after flash floods and a mudslide in Devighat, Nuwakot District, Nepal, Aug 28, 2026. (Photo: Reuters/Francis Mascarenhas)
Imej dron merakam kemusnahan sebuah jambatan dan kediaman penduduk yang rosak teruk susulan banjir kilat serta tanah runtuh di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal, pada Jumaat - Gambar Reuters

Ratusan masih terkandas

Pasukan kecemasan berlumba dengan masa untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di kawasan bencana ketika bekalan makanan dan air semakin berkurangan akibat kerosakan meluas.

Tentera Nepal mengesan sekumpulan individu yang terperangkap di dalam terowong Projek Hidroelektrik Trishuli 3A dan sedang berusaha mencari laluan masuk bagi melaksanakan operasi menyelamat.

“Dua helikopter telah dihantar, namun operasi amat mencabar kerana sukar untuk mengenal pasti pintu masuk ke terowong berkenaan,” kata jurucakap tentera Nepal, Raja Ram Basnet.

Beliau berkata, kira-kira 350 pekerja dan penduduk telah berjaya dipindahkan ke lokasi selamat, namun lebih 100 individu masih terperangkap di kawasan sama.

Mangsa yang berjaya diselamatkan dari beberapa projek empangan di Lembah Trishuli menggambarkan kejadian itu berlaku begitu pantas dan mencetuskan panik.

Seorang pekerja empangan, Buddha Tamang, berkata beliau terselamat hanya kerana berada di dalam terowong ketika banjir melanda.

“Pegawai kanan yang bekerja di bahagian lain semuanya dihanyutkan arus,” katanya selepas diselamatkan menggunakan helikopter pada Khamis, lebih 24 jam selepas terkandas.

'Saya hanya mahukan anak saya kembali'

Di sebuah hospital sementara di Nepal, keluarga mangsa terus menunggu dengan penuh debaran sebarang berita mengenai orang tersayang yang masih hilang.

Kula Priya yang kehilangan anak sulungnya dalam tragedi itu, berkata beliau tidak lagi memikirkan soal harta benda yang musnah.

“Saya tidak peduli tentang kekayaan. Saya hanya mahukan anak saya kembali. Jika sesiapa boleh menyelamatkan anak saya, tolonglah,” rayunya.

Nepal melaporkan jumlah kematian meningkat kepada 579 orang pada Jumaat.

Menurut pihak berkuasa bencana negara itu, seramai 1,924 orang masih gagal dihubungi, termasuk 517 warga asing. 

Angka itu meningkat mendadak berbanding 977 mangsa hilang yang dilaporkan sebelum ini.

Di India, pihak berkuasa menemukan tujuh mayat di sungai yang mengalir dari Nepal dan dipercayai mempunyai kaitan dengan bencana berkenaan.

Di Tibet pula, agensi berita Xinhua melaporkan tujuh kematian setakat ini, manakala 554 individu masih hilang.

Pihak berkuasa China turut memaklumkan bahawa 555 pelancong yang terkandas serta 499 penduduk tempatan telah berjaya dipindahkan ke lokasi selamat.

Ramai penganut Hindu dari pelbagai negara yang dalam perjalanan menunaikan ibadah ke Gunung Kailash di Tibet turut dilaporkan hilang dalam tragedi berkenaan.

Seorang daripadanya, Sivaranjani Muthunathan berkata, dia bersama 56 penumpang lain menaiki bas menuju sempadan China sebelum terkandas dalam kesesakan yang pada mulanya disangka berpunca daripada trafik.

“Kemudian muncul kabus, asap dan sesuatu yang seolah-olah menyelubungi kami secara tiba-tiba,” katanya sambil menunjukkan rakaman video yang memaparkan arus deras menghampiri kenderaannya.

Di sekeliling mereka, beberapa kenderaan dihanyutkan arus atau tertimbus dalam lumpur.

“Kami keluar seorang demi seorang melalui pintu pemandu sebelum memanjat bukit untuk menyelamatkan diri,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement