MUNICH: Bekas ketua eksekutif Audi, Rupert Stadler dijangka membuat pengakuan pada Selasa membabitkan pelepasan diesel yang dimanipulasi, yang telah berjalan selama dua setengah tahun, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pengurus itu yang juga ahli lembaga kumpulan VW berkata pada awal Mei bahawa dia akan membuat pengakuan itu.

Mahkamah Wilayah Munich menjanjikan hukuman lebih ringan kepadanya jika membuat pengakuan bersalah secara menyeluruh dan membayar denda EUR1.1 juta (US$1.2 juta).

Pejabat pendakwa raya bersetuju dengan rundingan pengakuan itu.

Dakwaan itu dikaitkan dengan lebih 430,000 kereta VW, Audi dan Porsche yang dipasang dengan 'peranti' untuk menipu ujian pengeluaran badan pengatur.

Kereta dengan enjin diesel telah dimanipulasi oleh sistem automatik sehingga mematuhi had pelepasan ekzos ketika ujian, tetapi tidak di jalan raya.

Stadler tidak dituduh bertanggungjawab memanipulasi kereta. Bagaimanapun, mengikut dakwaan, beliau membenarkan penjualan kenderaan terbabit berterusan hingga awal 2018.

Bekas ketua pembangunan enjin Audi, Wolfgang Hatz, dan dua jurutera kanannya mengaku membantu mereka bentuk perisian enjin terbabit.

-- BERNAMA