KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan lebih tegas di selatan Lubnan dengan menegaskan bahawa pendokumentasian pelanggaran tidak memadai tanpa penguatkuasaan, kebertanggungjawaban dan perlindungan lebih kukuh terhadap orang awam.
Gesaan itu dibuat susulan serangan udara Israel di Kfar Rumman pada 7 Sept yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang termasuk dua kanak-kanak, serta sebuah bangunan kediaman terkena serangan ketika waktu persekolahan, manakala satu lagi serangan dron dilaporkan mengorbankan seorang petugas perubatan.
Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pembunuhan orang awam yang berterusan meskipun dengan kehadiran Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB berkuat kuasa, menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan usaha pengaman antarabangsa serta penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
“PBB tahu. UNIFIL berada di lapangan. Ia memantau keadaan dan melaporkan pelanggaran. Namun orang awam terus terbunuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan individu yang memindahkan senjata dan pihak Israel kononnya berusaha meminimumkan korban awam.
Mohd Azmi berkata masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh bergantung semata-mata pada ungkapan kebimbangan, gesaan supaya menahan diri dan seruan meredakan ketegangan ketika orang awam terus menanggung kesan paling buruk akibat keganasan.
“Ungkapan ini telah diulang selama bertahun-tahun. Sementara itu, rumah dimusnahkan, orang awam dipindahkan, petugas perubatan terbunuh dan kanak-kanak terus menjadi mangsa.
“Pendokumentasian tanpa kebertanggungjawaban bukan keadilan. Misi pengaman tanpa keupayaan mencegah pelanggaran berisiko sekadar menjadi pemerhati pasif,” katanya sambil mempersoalkan nilai praktikal Resolusi 1701 sekiranya pelanggaran berulang hanya berakhir dengan laporan tanpa sebarang akibat yang bermakna.
Mohd Azmi turut menggesa resolusi itu dikuatkuasakan tanpa pilih kasih politik, sambil menegaskan bahawa semua pihak mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan setiap pelanggaran oleh mana-mana pihak mesti membawa akibat.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh menuntut pematuhan daripada satu pihak, tetapi pada masa sama mengetepikan pelanggaran oleh pihak lain atas pertimbangan politik. Mesti ada satu undang-undang antarabangsa, satu piawaian dan satu sistem kebertanggungjawaban,” katanya.
Mapim menggesa Majlis Keselamatan PBB, Setiausaha Agung PBB dan negara anggota, khususnya kerajaan yang mempunyai pengaruh politik dan ketenteraan terhadap Israel, supaya menuntut penghentian segera serangan terhadap orang awam serta mewujudkan mekanisme siasatan bebas terhadap serangan yang dilaporkan.
Mapim turut menggesa supaya kapasiti UNIFIL diperkukuh bagi melaksanakan mandatnya, anggota pengaman PBB dilindungi, akses kemanusiaan dijamin serta kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan dihormati.
“PBB tahu. UNIFIL melihat. UNIFIL melaporkan. Orang awam terbunuh. Dunia pula hanya memerhati. Ini tidak boleh menjadi definisi misi pengaman antarabangsa. Lubnan tidak boleh menjadi satu lagi medan perang yang dilupakan.
“UNIFIL tidak boleh sekadar menjadi saksi. Resolusi 1701 tidak boleh sekadar menjadi dokumen. Undang-undang antarabangsa tidak boleh sekadar menjadi slogan.
“Pembunuhan orang awam tidak boleh berlalu tanpa tindakan. Masa untuk sekadar mengeluarkan kenyataan sudah berakhir. PBB perlu bertindak sekarang,” kata Mohd Azmi.
-- BERNAMA