Skip to main content

Dunia

Marcos ikrar sokongan penuh kepengerusian ASEAN oleh Singapura

Presiden Ferdinand Marcos Jr. berucap pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina, pada Selasa. - Gambar AP
Presiden Ferdinand Marcos Jr. berucap pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina, pada Selasa. - Gambar AP
Advertisement

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. menyuarakan keyakinan bahawa Singapura akan menerajui ASEAN dengan "matlamat yang jelas, keteguhan serta komitmen terhadap kerjasama serantau" ketika blok itu melangkah ke tahun ke-60 penubuhannya.

Beliau berucap pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Selasa, yang menyaksikan Filipina menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Singapura bagi tahun 2027.

"Kami menghulurkan persahabatan serta sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi," katanya yang ditujukan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan rakyat negara itu.

Advertisement

Mengimbau tempoh setahun Filipina sebagai pengerusi, Marcos berkata, temanya, "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", mencerminkan usaha memperkukuh perpaduan dan kerjasama ASEAN.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Filipina memegang jawatan pengerusi, ASEAN telah memperkukuh keamanan dan kestabilan, merapatkan lagi hubungan ekonomi serantau serta memperluas perlindungan dan peluang untuk rakyatnya.

Advertisement

Beliau menggesa penyelarasan lebih erat dalam kalangan institusi ASEAN, sambil menyatakan keselamatan tenaga berkait rapat dengan keselamatan ekonomi, manakala kestabilan maritim mengekalkan keamanan, perdagangan dan sumber rezeki.

"Setiap negara anggota mesti dapat bergantung kepada ASEAN, dan ASEAN pula mesti dapat bergantung kepada setiap anggotanya," katanya.

Marcos berkata, rakyat akan melihat manfaat kerjasama serantau menerusi peluang baharu bagi perniagaan kecil, kepulangan selamat pekerja migran serta bantuan tepat pada masanya kepada keluarga yang berdepan bencana.

"Kemajuan akan berkekalan apabila setiap pengerusi membina di atas pencapaian terdahulu dan meninggalkan asas yang lebih kukuh untuk pengerusi seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement