PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk-yeol pada Selasa berkata keazaman luar biasa perlu bagi menangani penurunan kadar kelahiran di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

"Masa semakin singkat. Saya berharap setiap agensi kerajaan mendekati isu kadar kelahiran rendah ini dengan keazaman yang luar biasa," lapor Kyodo News yang berpangkalan di Seoul memetik kenyataan Yoon kepada barisan Kabinetnya.

Yoon yang mendesak para pegawai supaya mendekati isu itu daripada perspektif yang berbeza, mahukan penyelesaian berkesan terhadap penurunan kadar kelahiran memandangkan Korea Selatan mempunyai kadar kelahiran terendah di dunia.

Penurunan populasi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar, dengan kadar kesuburan negara direkodkan pada paras terendah 0.7 pada suku ketiga tahun ini.

"Kadar itu jauh di bawah paras penggantian 2.1, yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan penduduk seramai 51 juta orang," lapor agensi berita itu.

Merujuk kepada persaingan sengit dalam bidang seperti pendidikan sebagai antara punca di sebalik penurunan kadar kelahiran, Yoon berkata isu kadar kelahiran yang rendah memerlukan kerajaan melihat situasi itu secara lebih serius dengan mengenal pasti punca dan mencari jalan penyelesaian daripada dimensi yang berbeza daripada sebelumnya.

Korea Selatan menyaksikan penurunan berterusan dalam kelahiran baharu walaupun membelanjakan kira-kira AS$200 bilion sejak 16 tahun lalu untuk menggalakkan pertumbuhan penduduk.

Dalam laporannya baru-baru ini, Forum Ekonomi Dunia memberi amaran bahawa jika kadar kelahiran rendah semasa berterusan, negara Asia Timur itu akan mempunyai jumlah penduduk separuh daripada sekarang menjelang akhir abad ini."

Korea Selatan mempunyai kadar kelahiran rendah sepanjang masa untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2022, dengan hanya 249,000 bayi dilahirkan di negara itu, mengakibatkan penurunan 4.4 peratus lagi dalam populasi daripada rekod rendah sebelumnya pada 2021, menurut Statistik Korea.

Data menunjukkan purata wanita melahirkan anak pertama pada usia 33 tahun tahun lalu, diikuti 34.2 dan 35.6. tahun.

-- BERNAMA