NEW YORK: Washington masih berminat untuk mengekalkan operasi kedutaannya di Moscow walaupun hubungan antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) berada pada tahap yang sangat rendah, kata Timbalan Menteri Luar Rusia Sergey Vershinin kepada pemberita.

"Kami mempunyai banyak masalah dalam hubungan dua hala. Pada asasnya tidak ada. Hubungan kami berada pada tahap yang sangat rendah atau sifar," kata Vershinin, lapor Sputnik.

Beliau berkata terdapat perbincangan peringkat pakar antara Rusia dan AS mengenai pelbagai kebimbangan dan isu dalam hubungan dua hala.

"Saya boleh katakan rakyat Amerika masih mahu fungsi kedutaan mereka di Moscow dikekalkan," kata Vershinin kepada pemberita.

Timbalan menteri luar negeri itu berkata Rusia bekerjasama dengan AS berdasarkan prinsip timbal balik dan jika sebarang tindakan tidak mesra diambil terhadap Persekutuan Rusia secara dua hala, pihak Amerika akan segera menerima reaksi yang sama.

-- BERNAMA