Setelah dua bulan ditutup bagi mengekang penularan koronavirus, Masjid Al-Aqsa dibuka semula dengan menetapkan beberapa syarat sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia sekali gus mengakhiri suasana suram buat umat Islam di Baitulmaqdis yang tidak dapat meraikan bulan Ramadan dan Aidilfitri selain mendirikan solat jemaah di masjid yang dianggap antara terpenting dalam Islam.

Perkara tersebut dimaklumkan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Jordan yang merupakan penjaga bagi salah sebuah tapak suci umat Islam itu yang ditutup sejak 15 Mac lalu.

Menurut kementerian itu, langkah pembukaan diambil susulan penurunan kes COVID-19 di situ.

Pada Ahad, takbir bergema pada waktu subuh apabila ratusan umat Islam memenuhi Kota Lama Baitulmaqdis, lapor Reuters.

Namun, pengunjung perlu memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri sekiranya ingin mendirikan solat dalam kawasan masjid.

Kementerian bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada jumlah pengunjung dihadkan.

Tebing Gaza merekodkan 386 kes positif serta tiga kematian akibat COVID-19.