LONDON: Syarikat permainan terkemuka Mattel Inc melancarkan koleksi patung terbaharu Barbie, kali ini yang menyerupai ahli primatologi terkenal Britain, Jane Goodall.

Diperbuat daripada plastik dikitar semula, koleksi patung itu merupakan sebahagian daripada tema Siri Wanita Berinspirasi oleh syarikat itu.

Ia juga sekali gus mengiktiraf usaha Goodall dalam penyelidikan dan usaha pemeliharaan cimpanzi selama ini.

Koleksi anak patung itu ditonjolkan dengan pakaian kemeja khaki dan seluar pendek serta dilengkapi sepasang binokular.

Selain itu, turut disertakan replika David Greybeard, cimpanzi yang sering menemani Goodall ketika di Taman Negara Gombe, Tanzania.

"Saya inginkan anak patung Barbie menyerupai saya.

"Saya sering melibat kanak-kanak perempuan bermain dengan anak patung Barbie dan terus saya terfikir mereka perlukan kelainan," kata Goodall seperti dilaporkan Reuters.

Goodall, 88, memulakan penyelidikannya melibatkan cimpanzi di timur Afrika pada tahun 1960.

"Sebaik saya tiba di Gombe, saya terpukau dengan pemandangan di situ.

"Namun selama empat bulan semua cimpanzi melarikan diri dari saya sehingga David Greybeard memberanikan diri mendekati saya," katanya.

Menurut kenyataan Mattel, syarikat itu juga akan bekerjasama dengan Institut Jane Goodall serta Roots & Shoots bagi mengajar kanak-kanak tentang impak alam sekitar.