Skip to main content

Dunia

Identiti 69 mangsa nahas tren di Sepanyol dikenal pasti

Identiti kesemua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol minggu lepas telah dikenal pasti, manakala 29 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital. - Gambar AP
Identiti kesemua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol minggu lepas telah dikenal pasti, manakala 29 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital. - Gambar AP
Advertisement

MADRID: Identiti kesemua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran dua tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol minggu lepas telah dikenal pasti, manakala 29 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Pusat Data Bersepadu Sepanyol (CID) mengesahkan bahawa jumlah sementara korban kekal 69 orang, termasuk 54 warga Sepanyol dan 15 warga asing. Kesemua mangsa merupakan orang dewasa, terdiri daripada 40 lelaki dan 29 wanita.

Mangsa warga asing terdiri daripada empat warga Amerika Syarikat, masing-masing dua warga Australia dan Jepun, serta masing-masing seorang dari Argentina, Kanada, Republik Czech, Perancis, Mexico, Portugal dan Tunisia.

Advertisement

Institute of Legal Medicine and Forensic Sciences of Toledo and Ciudad Real telah menyelesaikan proses pengecaman mangsa. 

Daripada 69 mangsa, seramai 56 dikenal pasti melalui analisis cap jari oleh Perkhidmatan Kriminalistik Pengawal Awam, manakala baki 13 mangsa dikenal pasti melalui ujian DNA oleh National Institute of Toxicology.

Advertisement

Keluarga kesemua 69 mangsa telah dimaklumkan mengenai keputusan pengecaman itu, manakala pejabat konsular berkaitan turut dimaklumkan bagi kes melibatkan warga asing.

Sementara itu, kerajaan wilayah Castilla-La Mancha melaporkan bahawa 29 mangsa yang cedera dalam nahas itu masih dirawat di empat hospital, termasuk sembilan di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 di wad biasa.

Menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah, daripada 110 pesakit yang pada awalnya dimasukkan ke enam hospital, seramai 81 telah dibenarkan keluar.

Sembilan pesakit telah dipindahkan ke hospital di Madrid, termasuk seorang pada Isnin, manakala seorang lagi dipindahkan ke Andalusia.

Operasi pemulihan di lokasi nahas menunjukkan kemajuan apabila semua gerabak kedua-dua tren yang terlibat dalam perlanggaran itu telah dialihkan dari landasan.

Kedua-dua tren berkenaan masing-masing dikendalikan oleh Iryo dan pengendali kereta api kebangsaan Sepanyol, Renfe, lapor agensi berita Sepanyol EFE yang memetik sumber Pengawal Awam.

Gerabak tren Renfe AVE telah dialihkan pada waktu malam dan dipindahkan ke kawasan selamat, manakala dua gerabak terakhir tren Iryo dikeluarkan dari laluan kereta api berkelajuan tinggi Madrid-Andalusia pada petang Isnin.

Pengawal Awam masih meneruskan operasi mencari sisa jasad manusia di lokasi nahas dengan kira-kira 50 anggotanya dikerahkan ke kawasan itu, menurut EFE.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement