LONDON: Istana Buckingham menegaskan, peranan Raja Charles III sebagai Ketua Komanwel adalah untuk "memberi inspirasi dan menghimpunkan pihak berkepentingan", bukannya membuat dasar, sekali gus menjauhkan baginda daripada perdebatan mengenai sama ada United Kingdom (UK) perlu memohon maaf dan membayar pampasan atas penglibatannya dalam perdagangan hamba Atlantik.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika para pemimpin negara Komanwel berhimpun di Antigua dan Barbuda bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Raja Charles dijadual menyampaikan ucapan pada Selasa yang dijangka mengiktiraf legasi pahit dan kesan berpanjangan perhambaan.
Bagaimanapun, kandungan ucapan itu akan mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Britain.
Perdana Menteri Britain, Andy Burnham sebelum ini membayangkan kemungkinan wujud suatu bentuk permohonan maaf berhubung sejarah perhambaan, namun menolak sebarang bentuk pampasan kewangan.
Sehingga kini, kerajaan Britain tidak pernah mengemukakan permohonan maaf rasmi atau membayar pampasan berkaitan perhambaan.
Pada Sabtu, Burnham berkata, Britain perlu "berdepan dengan masa lalu" berhubung apa yang disifatkannya sebagai pencabulan kejam dan tidak berperikemanusiaan menerusi perdagangan hamba.
Beliau turut menyatakan keterbukaan untuk mempertimbangkan kemungkinan permohonan maaf rasmi.
Namun pada Isnin, jurucakap rasmi beliau menjelaskan, walaupun Burnham telah menyuarakan rasa dukacita dan kesal terhadap penderitaan yang berpunca daripada perdagangan hamba rentas Atlantik, ia berbeza daripada suatu permohonan maaf rasmi.
Menurut jurucakap itu, Burnham berpendapat, isu permohonan maaf rasmi perlu dibincangkan secara menyeluruh bersama negara dan komuniti yang paling terkesan.
"Permohonan maaf yang begitu signifikan perlu dibentuk berdasarkan pandangan rakyat dan negara yang paling terkesan," katanya.
Raja Charles kini sedang melakukan lawatan ke Caribbean dan tiba di Antigua dan Barbuda pada Jumaat selepas mengunjungi Bahamas dan Guyana.
Pada Isnin, baginda bersama Permaisuri Camilla melawat muzium di Government House, Antigua, yang mempamerkan pelbagai artifak berkaitan perhambaan termasuk belenggu serta rajah kapal yang digunakan untuk mengangkut hamba.
Baginda turut bertemu pelakon Idris Elba ketika mengunjungi Nelson's Dockyard, sebuah lokasi bersejarah dan tarikan pelancongan terkenal, sebelum menghadiri majlis bersama komuniti perniagaan yang turut disertai Burnham.
Perdana Menteri Britain itu tiba di ibu negara Saint John's pada Isnin bersama isterinya menjelang CHOGM yang berlangsung pada Selasa.
Isu berkaitan kemungkinan permohonan maaf terhadap perdagangan hamba rentas Atlantik dijangka menjadi antara topik utama perbincangan sidang itu yang menghimpunkan pemimpin dari 56 negara anggota Komanwel setiap dua tahun.
Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband berkata, negaranya cukup matang dan yakin untuk mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut.
"Dialog yang sedang dirangka akan meneliti sama ada dan bagaimana permohonan maaf rasmi boleh membantu mengiktiraf sejarah, memulihkan perpecahan serta menyokong hubungan yang lebih kukuh pada masa depan," katanya.
Bagaimanapun, Ketua Parti Konservatif, Kemi Badenoch menolak perbincangan berpanjangan mengenai permohonan maaf dan menyifatkannya sebagai gangguan kepada usaha menangani masalah semasa yang dihadapi Britain.
Sementara itu, Perdana Menteri Antigua dan Barbuda, Gaston Browne berkata, kesan perhambaan masih dirasai sehingga hari ini dan tidak lenyap begitu sahaja dengan peredaran masa.
Sehubungan itu, beliau mahu isu pampasan terus dibincangkan dalam kalangan negara anggota Komanwel.
Apa jua bentuk kenyataan Raja Charles mengenai perhambaan dalam ucapannya nanti, sebarang permohonan maaf rasmi atau keputusan berkaitan pampasan kekal berada di bawah bidang kuasa pemimpin politik Britain.
Sebelum ini, Raja Charles pernah menggunakan bahasa yang tegas ketika mengulas sejarah penjajahan, termasuk menyifatkannya sebagai sumber "kesedihan dan kekesalan terbesar" susulan tindakan keganasan yang tidak boleh diterima ketika lawatan baginda ke Kenya.
Di Antigua pula, baginda dijangka menyatakan "rasa dukacita yang mendalam", selepas minggu lalu menyentuh mengenai "penderitaan besar masa lampau" ketika berada di Bahamas.
Kenyataan Istana Buckingham itu dilihat bertujuan meredakan jangkaan bahawa Raja Charles akan campur tangan secara langsung dalam isu permohonan maaf atau pampasan.
Sebaliknya, istana menegaskan, peranan baginda adalah sebagai tokoh penyatu yang berada di atas perbezaan politik dan sejarah dalam kalangan negara anggota Komanwel yang digambarkan sebagai sebuah "keluarga negara."
Menurut istana, sumbangan paling penting Raja Charles adalah membantu menghubungkan pemimpin, institusi dan pelabur antarabangsa, ramai antaranya telah lama dikenali baginda melalui penglibatan dalam diplomasi antarabangsa selama beberapa dekad.
Pendekatan itu, menurut istana, bertujuan mewujudkan kesepakatan dalam bidang kepentingan bersama dan menyediakan persekitaran yang membolehkan pelbagai inisiatif diterajui Komanwel direalisasikan dengan lebih berkesan.
Ia sekali gus menggambarkan peranan Raja Charles sebagai penghubung yang menyatukan ahli politik, komuniti perniagaan, badan kebajikan dan masyarakat sivil dalam rangka kerjasama yang lebih luas di bawah payung Komanwel. - Agensi