Skip to main content

Dunia

Media kunci perkukuh penglibatan ASEAN, identiti serantau - Kao

81750887177_DrKaoKimHourn.jpg
Media memainkan peranan penting dalam memperkukuh penglibatan orang ramai dengan ASEAN serta memupuk semangat identiti serantau yang lebih teguh, selaras dengan usaha blok itu menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, pada Rabu. - Gambar fail
Advertisement

MANILA: Media memainkan peranan penting dalam memperkukuh penglibatan orang ramai dengan ASEAN serta memupuk semangat identiti serantau yang lebih teguh, selaras dengan usaha blok itu menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, pada Rabu.

Berucap pada Forum Media ASEAN (AMF) ke-10 di sini, Kao berkata, landskap media telah berubah secara drastik sejak sedekad lepas.

Platform digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) generatif telah mengubah cara berita serta maklumat dihasilkan, disebarkan dan diterima, namun pada masa sama memudahkan penyebaran maklumat salah, maklumat palsu, salah komunikasi dan kandungan yang dimanipulasi merentasi sempadan.

"Ketika ASEAN bergerak ke arah Wawasan Komuniti ASEAN 2045, perubahan dalam persekitaran maklumat ini membawa implikasi penting terhadap cara kita berhubung dan berkomunikasi dengan rakyat kita.

“Usaha memupuk semangat identiti serantau dan matlamat bersama yang lebih teguh memerlukan penglibatan yang berterusan dan bermakna.

"Media mempunyai sumbangan dan peranan yang unik dalam usaha tersebut. Selain melaporkan perkembangan semasa, anda boleh membantu menjelaskan isu kompleks, mengaitkan dasar serantau dengan kehidupan seharian rakyat, serta menjadikan usaha ASEAN lebih mudah difahami dan didekati orang ramai."

Kao berkata, AI generatif sedang mengubah cara berita dan maklumat dikumpul, dihasilkan dan disebarkan, serta menawarkan peluang untuk meningkatkan kecekapan bilik berita serta memperluas pelaporan berbilang bahasa secara masa nyata.

Bagaimanapun beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai akauntabiliti editorial, ketulenan, hak cipta, media sintetik dan pemalsuan wajah (deepfake).

"Perkembangan ini meletakkan nilai yang lebih tinggi pada kewartawanan profesional yang berlandaskan pengesahan, konteks dan piawaian etika.

“Kepercayaan orang ramai, apabila hilang, sukar untuk dipulihkan semula; ini menjadikan kredibiliti sebagai antara aset media yang paling berharga namun pada masa yang sama, mudah terjejas," katanya.

Mewakili Filipina, Pengerusi ASEAN tahun ini, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri, Leo M. Herrera-Lim berkata, kewartawanan ialah elemen penting dalam Visi Komuniti ASEAN 2045, dengan peranannya merangkumi tonggak Politik-Keselamatan, Ekonomi serta Sosiobudaya.

“Merentasi aspek keselamatan, ekonomi dan masyarakat, terdapat satu had atau ‘benang merah’ yang sama: ASEAN yang berkomunikasi dengan penuh ketelitian sebagaimana ia membuat keputusan. Secara keseluruhannya, hala tuju strategik ini menegaskan bahawa media bukan sekadar pencatat perjalanan ASEAN, malah merupakan rakan kongsi penting dalam mencorakkan masa depan rantau ini.

“Ketika rantau kita mengharungi perkembangan geopolitik yang kompleks, keperluan terhadap kewartawanan yang berwibawa dan bertanggungjawab menjadi semakin mendesak. Bagi Filipina, kami menganggap ini sebagai peranan yang amat signifikan bagi pihak media,” katanya.

Sementara itu, Kao berkata, AMF menyediakan ruang untuk meneliti keutamaan, pencapaian dan cabaran ASEAN selari dengan perkembangan di peringkat serantau dan global. 

Beliau berkata, forum itu turut menggalakkan perbincangan mengenai bagaimana kewartawanan dan komunikasi awam dapat meningkatkan pemahaman terhadap ASEAN serta usahanya.

AMF, yang kali pertama diadakan di Manila pada 4 Ogos 2017 sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, telah berkembang menjadi platform serantau yang menghimpunkan wartawan, pemimpin media dan penggubal dasar untuk bertukar-tukar idea, mengeratkan kerjasama, serta meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai ASEAN.

Forum dianjurkan oleh Sekretariat ASEAN dengan sokongan kerajaan Jerman menerusi Perbadanan Kerjasama Antarabangsa Jerman (GIZ).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement