LOS ANGELES: Kes cacar monyet di Amerika Syarikat (AS) terus meningkat dengan pantas, melebihi 11,000 kes, dengan media dan pakar menyalahkan kelemahan pentadbiran Biden dalam membendung wabak itu.

Menurut data terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, sebanyak 11,177 kes cacar monyet telah dilaporkan di seluruh negara setakat Jumaat, lapor Xinhua.

New York mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 2,295 kes, diikuti oleh California dengan 1,945 kes dan Florida dengan 1,085 kes.

Setakat ini, AS mencatatkan jumlah kes cacar monyet tertinggi di dunia.

Kelemahan pentadbiran Biden dalam menangani cacar monyet membolehkan penyakit itu bertapak di negara itu, kata laporan Politico.

Kelemahan itu termasuk dalam pelaksanaan protokol ujian awal, pengedaran vaksin yang perlahan, kekurangan pembiayaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri dan tempatan bertindak balas terhadap wabak itu, dan komunikasi yang tidak teratur dengan komuniti yang paling terjejas oleh virus itu, kata laporan itu.

Pakar epidemiologi, pegawai kesihatan awam dan doktor memberi amaran bahawa kerajaan AS kesuntukan masa untuk menghentikan virus daripada merebak dalam kalangan penduduk AS.

Cacar monyet merupakan satu lagi krisis kesihatan global yang didorong oleh pengabaian kerajaan AS, kata op-ed di laman sesawang media Amerika Truthout.

Sekiranya kerajaan AS bertindak pantas dan mengedarkan vaksin dengan segera kepada mereka yang paling berisiko, kemungkinan cacar monyet tidak akan berkembang menjadi krisis sedemikian, kata laporan itu.

Hanya selepas tiga bulan wabak cacar monyet dikesan di AS, kerajaan persekutuan akhirnya mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan pada 4 Ogos.

"Tetapi keputusan itu mungkin sudah terlambat," kata laporan VOX, sebuah laman sesawang berita dan pendapat Amerika.

Data yang tepat adalah penting untuk kesihatan awam, dan AS tidak memilikinya, kata laporan itu.

"Apabila cacar monyet sudah menjadi kecemasan kesihatan awam global, penting untuk mempunyai data yang tersedia, segera dan tepat, bertujuan menyelaraskan tindak balas kesihatan awam yang berkesan," kata laporan itu.

-- BERNAMA