DUNIA
Media Thailand sorot perjanjian gencatan senjata sempadan

Perjanjian itu dianggap penting bagi keselamatan serantau, perpaduan ASEAN serta kesinambungan perdagangan rentas sempadan dan pelancongan. - Foto Bernama
BANGKOK: Pengumuman gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand susulan rundingan di Malaysia mendapat liputan meluas dalam media Thailand.
Ringkasan AI
- Thailand dan Kemboja bersetuju laksana gencatan senjata serta-merta: Persetujuan dicapai dalam mesyuarat khas dipengerusikan PM Malaysia di Putrajaya pada 28 Julai, dengan pelaksanaan bermula tengah malam.
- Liputan meluas media Thailand puji rundingan damai: Akhbar Thairath dan Bangkok Post serta Thai PBS menyambut baik perjanjian yang disifatkan penting untuk perpaduan ASEAN dan keselamatan serantau.
- Latar konflik sempadan masih tegang sebelum perjanjian: Ketegangan sejak 28 Mei melibatkan tembak-menembak di kawasan Preah Vihear, dengan korban jiwa di kedua-dua pihak.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan berkuat kuasa pukul 12 tengah malam, 28 Julai, susulan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN, di Putrajaya pada Isnin.
Mesyuarat itu turut dihadiri Manet dan Phumtham.
Perjanjian itu dianggap penting bagi keselamatan serantau, perpaduan ASEAN serta kesinambungan perdagangan rentas sempadan dan pelancongan.
Perkembangan itu turut disorot oleh Perkhidmatan Penyiaran Awam Thailand (Thai PBS) dalam segmen dunia yang melaporkan "Thailand dan Kemboja bersetuju laksana gencatan senjata 'tanpa syarat' bermula tengah malam".
Sementara itu, Bangkok Post - satu-satunya akhbar harian berbahasa Inggeris di Thailand - turut melaporkan mengenai perkara itu di laman sesawangnya dengan tajuk: "Thailand dan Kemboja capai gencatan senjata selepas lima hari pertempuran".
Bangkok Post turut menyatakan bahawa ketegangan terbaharu itu adalah yang paling berdarah sejak pertempuran sporadik tercetus antara 2008 dan 2011 membabitkan kawasan yang dipertikaikan.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama berselisih mengenai 817 kilometer sempadan yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan meningkat sejak 28 Mei lepas susulan insiden tembak-menembak berhampiran kawasan dipertikaikan Preah Vihear yang mengorbankan seorang askar Kemboja.
Pusingan terbaharu pertempuran bermula pada 24 Julai, dengan insiden pertempuran bersenjata dilaporkan di sepanjang sempadan utara Kemboja, mengakibatkan korban di kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami