Skip to main content

Malaysia

Orang ramai disaran guna perkhidmatan digital JPJ, jimat kos perjalanan

PUTRAJAYA, 30 Jan -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli ketika sidang media Nombor Pendaftaran Istimewa Siri FH Sempena Hari Wilayah Persekutuan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya hari ini.
Aedy Fadly berkata JPJ komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui peluasan penggunaan platform digital selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berintegriti. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perkhidmatan digital yang disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan urusan tanpa perlu hadir ke kaunter, susulan peningkatan harga minyak ketika ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu mengambil maklum situasi global semasa berkaitan bekalan dan harga pasaran minyak susulan ketegangan berlarutan di Asia Barat, yang memberi tekanan kepada pasaran dunia serta kesan langsung kepada rakyat.

Advertisement

Oleh itu, beliau berkata pendekatan “urusan di hujung jari” bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah menjadi langkah praktikal yang dapat membantu rakyat menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ.

“Untuk makluman, sebanyak 33 urus niaga boleh dilaksanakan melalui portal rasmi JPJ manakala 16 urus niaga lagi boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ. 

“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform ini bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal,” katanya.

Aedy Fadly berkata JPJ komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui peluasan penggunaan platform digital selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berintegriti.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video