Skip to main content

Dunia

Melania Trump gesa ABC ambil tindakan terhadap Jimmy Kimmel susulan jenaka “bakal balu”

First lady Melania Trump and White House deputy chief of staff Dan Scavino listen as President Donald Trump speaks in the James Brady Press Briefing Room at the White House after a shooting incident outside the ballroom at the annual White House Correspondents' Association Dinner in Washington, Saturday, April 25, 2026. (AP Photo/Jose Luis Magana)
Melania menyeru ABC supaya bertindak terhadap apa yang disifatkannya sebagai “tingkah laku keji” pengacara berkenaan. - Foto AP

WASHINGTON: Isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Melania Trump, menggesa rangkaian televisyen ABC supaya “mengambil pendirian tegas” terhadap pengacara rancangan malam, Jimmy Kimmel, susulan jenaka yang disifatkannya sebagai “berunsur kebencian dan ganas”, hanya beberapa hari sebelum insiden tembakan di Jamuan Persatuan Wartawan White House (WHCD).

Dalam monolognya pada Khamis lalu, Kimmel membuat jenaka dengan merujuk Melania Trump sebagai "bakal balu", ketika mengulas secara parodi mengenai jamuan tahunan itu.

Advertisement

Insiden tembakan berlaku dua hari kemudian, ketika Melania dan Presiden Donald Trump hadir ke acara berkenaan.

Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran sekatan keselamatan pada jamuan tersebut pada Sabtu malam, dalam serangan yang menurut pihak berkuasa mungkin menyasarkan anggota pentadbiran Trump.

Presiden dan isterinya dipindahkan keluar dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Dalam satu hantaran di platform X pada Isnin, Melania Trump berkata individu seperti Kimmel “tidak sepatutnya diberi peluang untuk memasuki rumah kami setiap malam bagi menyebarkan kebencian”.

Beliau turut menyeru ABC supaya bertindak terhadap apa yang disifatkannya sebagai “tingkah laku keji” pengacara berkenaan.

“Monolognya mengenai keluarga saya bukan komedi. Kata-katanya bersifat menghakis dan menambah parah penyakit politik di Amerika Syarikat,” katanya.  

“Berapa kali lagi kepimpinan ABC akan membiarkan perlakuan kejam Kimmel dengan mengorbankan keharmonian komuniti kita?”

Presiden Trump turut mengulas isu itu. Dalam satu hantaran di Truth Social pada Isnin petang, beliau berkata ramai orang berasa marah dengan kenyataan Kimmel, yang menurutnya merupakan “seruan kepada keganasan”.

“Ini lebih daripada keterlaluan. Jimmy Kimmel sepatutnya dipecat serta-merta oleh Disney dan ABC,” tulis Trump.

Pihak BBC memaklumkan bahawa ABC telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, namun setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh rangkaian tersebut.

Kontroversi terbaharu ini menyusul insiden pada September tahun lalu apabila Kimmel digantung sementara daripada siaran selepas mengulas mengenai kematian seorang pempengaruh konservatif, Charlie Kirk, yang ditembak mati.

Rancangan itu kembali bersiaran seminggu kemudian, dan Kimmel ketika itu berkata beliau memahami kemarahan segelintir pihak terhadap ulasannya yang dianggap tidak sesuai masa dan konteks.

Susulan insiden tembakan hujung minggu lalu, klip jenaka Kimmel yang dibuat beberapa hari sebelumnya tular semula di media sosial, mencetuskan kecaman daripada pengkritik yang mendakwa ia menggalakkan keganasan bermotifkan politik.

Beberapa pengguna media sosial berhaluan konservatif turut menyeru agar Kimmel disingkirkan daripada slot siaran.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, juga mengkritik kenyataan Kimmel dalam satu sidang media pada Isnin.

“Retorik sebegini terhadap presiden, isteri negara dan penyokongnya adalah langsung tidak waras,” katanya.

Trump kemudiannya memberitahu wartawan bahawa kejadian di jamuan tersebut merupakan “pengalaman yang agak traumatik” buat isterinya.

Suspek insiden tembakan itu dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, 31, yang ditahan berhampiran sebuah tangga menuju ke dewan utama selepas dikejar oleh ejen keselamatan.

Ratusan wartawan, pegawai dan tokoh awam berada di dalam dewan ketika kejadian.

Allen muncul di mahkamah pada Isnin dan didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh presiden, selain beberapa kesalahan berkaitan senjata api.

Dia tidak mengemukakan sebarang pengakuan bersalah.

 

Must Watch Video