Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menegaskan bahawa usaha negaranya dalam menangani ancaman keganasan bukanlah bermaksud Amerika Syarikat akan berperang dengan negara Islam.

"Kita tidak boleh saling tuduh-menuduh dalam perkara ini dan menjadikan ia sebagai satu isu yang membawa kepada peperangan di antara Amerika dengan Islam," katanya, yang merujuk kepada calon-calon presiden parti Republikan seperti Donald Trump, yang dilihat oleh pengkritik suka mencetuskan perasaan takut dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat terhadap masyarakat Islam.

Dalam satu perutusan Negara di sini pada Ahad, Obama turut mengutuk serangan siri tembak-menembak di California dengan melihat insiden itu sebagai "serangan keganasan yang dirancang untuk membunuh mereka yang tidak bersalah."

Dalam satu perutusan Negara di sini pada Ahad, Obama turut mengutuk serangan siri tembak-menembak di California tersebut dengan melihat insiden itu sebagai "serangan keganasan yang dirancang untuk membunuh mereka yang tidak bersalah."

Beliau juga melihat insiden ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan lagi kawalan pembelian senjata api di negara itu.

Beberapa pegawai daripada agensi-agensi penguatkuasa sedang membantu orang ramai keluar dari lokasi bangunan yang berlakunya siri tembak-menembak yang membunuh sekurang-kurangnya 14 nyawa dan mencederakan beberapa yang lain. Foto AFP / James Quigg

Obama menegaskan, kawalan senjata perlu dilakukan walaupun ia sukar kerana mendapat tentangan hebat daripada parti Republikan.

"Kita perlu mengambil satu langkah bagi menyukarkan orang ramai untuk membeli senjata seperti yang digunakan dalam serangan tembak-menembak di San Bernardino.

"Apa yang boleh kita lakukan dan mesti dilakukan adalah dengan membuat aktiviti pembunuhan itu lebih sukar untuk berlaku, " tambahnya.

Obama berkata beliau akan melihat sejauh mana kepentingan hubungan di antara keselamatan negara dengan keperluan untuk kawalan senjata api berikut kejadian tembak-menembak secara besar-besaran yang kerap berlaku di Amerika ketika ini.

Obama dalam ucapan yang sama juga berkata insiden di San Bernardino menunjukkan "ancaman miitan pengganas telah berevolusi kepada fasa yang baru" dengan militan Daish (IS) menggunakan Internet untuk "meracun pemikiran" mereka yang berpotensi untuk menjadi pengganas.

Lantaran itu, beliau menggesa Lembah Silikon (Silicon Valley) untuk memainkan peranannya dalam menangani ancaman militan pengganas yang merancang dan menggalakkan aktiviti keganasan menerusi sosial media dan kemudahan komunikasi elektronik.


Jelas Obama, beliau menghadapi cabaran untuk meyakinkan penduduk Amerika Syarikat bagi menangani ancaman militan dari terus berkembang memandangkan pasangan yang melakukan serangan tembakan di California tidak berada dalam radar keselamatan negara Amerika Syarikat sebelum insiden berdarah itu berlaku.

FBI kini masih menyiasat kes serangan gaya separa tentera itu yang dilihat seperti menyerupai serangan militan Daish, seperti serangan yang berlaku di Paris, Perancis pada 13 November lalu yang meragut 130 nyawa.