Skip to main content

Dunia

Menteri Kebajikan Latvia dipecat akibat memandu sewaktu mabuk

[TB_Latvian Welfare Minister Reinis Uzulnieks_FB Reinis Uzulnieks
Menurut laporan media yang belum disahkan secara rasmi, polis menahan Uzulnieks (gambar) pada Sabtu dan mendapati beliau memandu dengan paras alkohol dalam darah melebihi 0.3 peratus. - Facebook Uzulnieks
Advertisement

RIGA: Perdana Menteri Latvia Andris Kulbergs memecat Menteri Kebajikan Reinis Uzulnieks pada Ahad selepas beliau ditahan polis akibat memandu dengan paras alkohol dalam darah melebihi 0.3 peratus -- iaitu kira-kira enam kali ganda lebih tinggi daripada had yang dibenarkan undang-undang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Seorang menteri yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah sangat tidak bertanggungjawab dan membahayakan masyarakat," kata Kulbergs menerusi hantaran di X. 

Presiden Edgars Rinkēvičs turut mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan.

Menurut laporan media yang belum disahkan secara rasmi, polis menahan ahli politik berusia 40 tahun itu pada Sabtu dan mendapati beliau memandu dengan paras alkohol dalam darah melebihi 0.3 peratus.

Agensi berita Latvia, LETA melaporkan ujian hembusan alkohol mencatatkan bacaan bersamaan 0.309 peratus, manakala televisyen Latvia melaporkan paras alkohol dalam darah sebanyak 0.35 peratus.

Had maksimum alkohol yang dibenarkan dalam darah bagi pemandu dengan pengalaman lebih dua tahun ialah 0.05 peratus, menurut Persatuan Automobil Latvia.

Kepekatan alkohol dalam darah (BAC) sebanyak 0.4 peratus dianggap sebagai paras yang berpotensi mambawa maut oleh kebanyakan pakar perubatan.

Pada paras 0.3 peratus "anda berkemungkinan mengalami keracunan alkohol, iaitu keadaan yang boleh mengancam nyawa serta berdepan risiko hilang kesedaran", menurut Cleveland Clinic, sebuah pusat penjagaan jantung dan vaskular utama di Amerika Syarikat.

Terdahulu, kepimpinan parti Uzulnieks, Kesatuan Hijau dan Petani, membuat keputusan dalam mesyuarat tergempar untuk memecat beliau sebagai menteri kebajikan dan menyingkirkannya daripada parti. Parti itu memaklumkan maklumat lanjut akan diberikan pada Isnin.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement