Skip to main content

Dunia

Menteri Luar Arab tuntut Iran bayar pampasan atas serangan, penutupan Selat Hormuz

Ships and tankers in the Strait of Hormuz off the coast of Musandam, Oman, April 18, 2026. REUTERS
Resolusi itu turut mengecam tindakan Iran menutup Selat Hormuz serta ancaman untuk menutup Selat Bab el-Mandeb. - Foto fail/REUTERS

ISTANBUL: Menteri-menteri luar Arab pada Selasa menuntut Iran membayar pampasan bagi kerosakan yang didakwa berpunca daripada serangan Tehran ke atas negara-negara Arab serta tindakan menutup Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.

Pendirian itu dinyatakan menerusi satu resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat tergempar Liga Arab yang diadakan secara sidang video di bawah kepengerusian Bahrain.

Advertisement

Menurut resolusi itu, Iran memikul “tanggungjawab antarabangsa sepenuhnya” atas serangan yang menyasarkan Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Arab Saudi, Oman, Qatar, Kuwait dan Iraq, serta wajib di sisi undang-undang antarabangsa memberikan “pampasan penuh” bagi semua kerugian dan kerosakan.

Resolusi itu turut mengecam tindakan Iran menutup Selat Hormuz serta ancaman untuk menutup Selat Bab el-Mandeb, dengan menyatakan bahawa tindakan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kebebasan pelayaran.

Menteri Luar Bahrain Abdullatif Al Zayani berkata tindakan Iran telah mengganggu lalu lintas maritim, mengancam keterjaminan tenaga serta bekalan makanan dan ubat-ubatan, selain menjejaskan perdagangan global dan ekonomi dunia.

Beliau berkata Tehran juga mesti bertanggungjawab atas penutupan Selat Hormuz terhadap pelayaran antarabangsa.

Awal bulan ini, Iran menuntut pampasan daripada Arab Saudi, Qatar, UAE, Bahrain dan Jordan, dengan mendakwa negara-negara itu terlibat dalam perang terhadap Tehran.

Permusuhan di rantau itu memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel dan beberapa negara lain di rantau itu yang menempatkan aset AS.

Pada 11 April, Pakistan menjadi tuan rumah pusingan pertama rundingan damai selepas menjadi perantara bagi gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April.

Dengan gencatan senjata itu dilanjutkan pada Selasa, usaha untuk mengadakan pusingan kedua rundingan masih diteruskan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video