SANDAKAN: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Darat Malaysia ke-93 sambil menegaskan kepentingan jati diri, profesionalisme dan integriti sebagai tonggak kekuatan angkatan itu.
Baginda bertitah, pembinaan nilai teras tersebut perlu sentiasa diperkasa kerana setiap anggota merupakan cerminan Tentera Darat Malaysia dan institusi diraja.
Advertisement
Titah baginda, landskap keselamatan ketika ini semakin kompleks dan tidak hanya tertumpu kepada ancaman konvensional, sebaliknya, turut merangkumi keganasan, jenayah rentas sempadan serta cabaran siber.
Perubahan itu, titah baginda, menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi, kecekapan taktikal dan pemikiran strategik yang lebih tajam bagi menghadapi realiti keselamatan baharu.
Baginda bertitah, amanah yang dipikul setiap anggota tentera memerlukan pengorbanan serta iltizam besar, sementara komitmen dan kesetiaan warga angkatan bersenjata menjadi tunjang kepada kestabilan dan keamanan negara.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, nilai kerohanian, kepimpinan melalui teladan serta penekanan terhadap kebajikan anggota dan keluarga turut memainkan peranan penting dalam membentuk ketahanan mental, disiplin dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu, justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk terus mempertahankannya demi agama, bangsa dan negara.
Titah itu dizahirkan Tuanku Syed Faizuddin ketika baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Batalion Ke 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, seperti dinyatakan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Keberangkatan baginda ke Sandakan adalah bagi mengetuai Eksesais Perlis Sabah (PERBAH) 2026.
Ketibaan baginda disambut Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah, serta Pegawai Memerintah 22 RAMD, Leftenan Kolonel Khairull Nizam Basar.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar; Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Fissol Abd Hadi; serta Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abdul Rani.
Majlis berbuka puasa itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan anggota, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan serta meningkatkan iltizam warga pasukan dalam melaksanakan amanah.
Menutup titah, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menzahirkan harapan agar warga 22 RAMD terus mengekalkan semangat juang tinggi, memupuk perpaduan dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran masa depan.