INTERNATIONAL
Menteri Pertanian Jepun letak jawatan susulan kenyataan kontroversi mengenai beras

Taku Eto berdepan tindak balas hebat berhubung kenyataannya bahawa beliau tidak membeli beras kerana menerima bekalan yang banyak daripada penyokongnya. - Foto Reuters
TOKYO: Menteri Pertanian Jepun Taku Eto pada Rabu meletak jawatan selepas berdepan tindak balas hebat berhubung kenyataannya bahawa beliau tidak membeli beras kerana menerima bekalan yang banyak daripada penyokongnya, sekali gus memberi tamparan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang popularitinya sudah pun terjejas akibat isu kos sara hidup, khususnya kenaikan harga beras.
Ringkasan AI
- Peletakan Jawatan Menteri Pertanian Jepun: Taku Eto meletak jawatan selepas menerima kritikan berhubung kenyataannya mengenai bekalan beras percuma daripada penyokong.
- Pengganti & Kesan Politik: Shinjiro Koizumi dijangka menggantikan Eto sebagai Menteri Pertanian. Kejadian ini berlaku ketika Ishiba bersiap menghadapi pilihan raya Dewan Kaunselor.
- Isu Harga Beras & Respons Kerajaan: Harga beras meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu, menyebabkan kerajaan mengeluarkan stok kecemasan untuk mengawal harga.
"Saya akan menerima semua kritikan," kata Ishiba.
Eto, 64, menyerahkan surat peletakan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri beberapa jam sebelum Ishiba dijadual berdepan pemimpin parti pembangkang di Parlimen - yang sebulat suara mendesak beliau meletak jawatan.
Skandal terbaharu itu berlaku ketika Ishiba bersiap sedia menghadapi pilihan raya Dewan Kaunselor pada musim panas ini -- pemilihan yang mesti dimenangi gabungan pemerintah selepas mereka kehilangan kawalan ke atas Dewan Perwakilan tahun lepas.
Eto merupakan anggota Kabinet pertama di bawah pentadbiran Ishiba yang meletak jawatan bukan kerana kehilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Oktober lepas.
"Saya bertanya diri sendiri sama ada wajar untuk saya kekal menerajui kementerian pada waktu kritikal bagi harga beras, dan saya membuat kesimpulan bahawa ia tidak wajar," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat peletakan jawatan.
"Sekali lagi, saya memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan saya yang amat tidak wajar sebagai menteri, pada waktu mereka bergelut dengan kenaikan mendadak harga beras," katanya.
Kenyataan Eto dibuat tidak lama selepas Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan memutuskan untuk mengeluarkan simpanan stok kecemasan beras sehingga Julai dalam usaha menurunkan harga beras yang telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas.
Eto dikenali sebagai antara pakar utama dasar pertanian dalam parti pemerintah dan pernah menjawat jawatan Menteri Pertanian selama setahun bermula 2019 di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat tidak berpuas hati terhadap cara kerajaan menangani kenaikan harga beras. Isu itu diburukkan lagi oleh pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan kadar inflasi.
"Saya tidak membeli beras. Terima kasih kepada penyokong saya yang memberikan begitu banyak beras, saya mempunyai begitu banyak beras di rumah sehingga saya boleh menjualnya."
Beliau kemudian menjelaskan bahawa kenyataan itu bertujuan mencuit hati hadirin, namun "terlalu berlebihan", menyebabkan ahli Parlimen pembangkang segera mempersoalkan kelayakannya untuk kekal sebagai menteri.
Selain parti pembangkang, kritikan turut meningkat dalam kalangan gabungan pemerintah, dengan beberapa pemimpin kanan menganggap peletakan jawatan beliau sebagai tidak dapat dielakkan.
Koizumi, yang dijangka dilantik sebagai Menteri Pertanian yang baharu, pernah tewas kepada Ishiba dalam pemilihan presiden LDP, namun merupakan antara tokoh pilihan rakyat dalam tinjauan sebagai pemimpin masa depan Jepun.
Kontroversi itu berlaku ketika satu tinjauan pendapat Kyodo News menunjukkan kadar penilaian kelulusan Ishiba kini pada tahap terendah sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober lepas, sekali gus menggambarkan kegagalannya setakat ini untuk mengembalikan kepercayaan rakyat yang terjejas ekoran skandal pengumpulan dana politik LDP.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami