SELEPAS Pakistan, kini Mesir dan Algeria pula mengambil langkah untuk melonggarkan beberapa aspek sekatan pergerakan di negara masing-masing bagi menyambut Ramadan.

Walaupun Mesir mencatatkan peningkatan tertinggi kes positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam, negara itu memendekkan tempoh sekatan pergerakan bermula jam 9 malam hingga 6 pagi, berbanding 8 malam sebelum ini.

Kata Perdana Menterinya, Mostafa Madbouly, dalam satu perutusan khas, kelonggaran itu berkuat kuasa bermula pada Jumaat.

Sejak bulan lepas, Mesir meningkatkan perintah sekatan pergerakan di negara itu, antaranya dengan menutup lapangan terbang, gimnasium serta menangguhkan kelas di sekolah dan universiti.

Premis perniagaan selain pasar raya dan farmasi pula diarahkan ditutup operasi pada jam 5 petang setiap hari.

Kelonggaran itu bagaimanapun tidak mengubah larangan awal supaya tiada sebarang aktiviti atau perhimpunan diadakan di masjid atau pusat keagamaan.

Menurut Madbouly, walaupun beberapa sekatan telah dilonggarkan, pihak berkuasa bersedia untuk mengetatkannya semula sekiranya kes jangkitan kembali melonjak.

Mesir pada Khamis melaporkan 232 kes baharu COVID-19 serta 11 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,891 dan 287 kematian.

Sementara itu, Algeria turut melonggarkan sekatan pergerakan bermula Jumaat dengan memendekkan tempoh sekatan.

Selain itu, perintah sekatan pergerakan menyeluruh di daerah Blida juga telah tamat dan digantikan dengan sekatan pergerakan lebih ringan bermula jam 2 petang hingga 7 pagi.

Sembilan daerah lain, termasuk Algiers, turut menyaksikan kelonggaran dengan tempoh sekatan pergerakan berkuatkuasa bermula jam 5 petang hingga 7 pagi.

“Kerajaan mengulangi seruan agar rakyat kekal berwaspada.

“Mengubah atau mengekalkan langkah pengekangan bergantung kepada evolusi situasi epidemiologi," kata Pejabat Perdana Menteri negara itu dalam satu kenyataan.

Algeria setakat ini melaporkan 3,007 kes positif COVID-19 dengan 407 kematian serta 1,355 pesakit telah pulih.