KAHERAH: Mesir membentangkan pelan gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza kepada Israel, Hamas, Amerika Syarikat (AS) dan wakil Eropah pada Isnin.

Cadangan itu antara lain akan menyaksikan Israel berundur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza, pembebasan semua tawanan yang ditahan oleh Hamas dan Israel, serta penubuhan pihak berkuasa Palestin baharu di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun cadangan ini disifatkan mustahil untuk dilaksanakan.

Cadangan itu dirangka dengan negara teluk Qatar, termasuk beberapa pusingan pertukaran tawanan dan banduan.

Sepanjang gencatan senjata, Mesir juga akan mengetuai rundingan untuk menyatukan semula puak Palestin Hamas dan pihak berkuasa Palestin.

Kedua-dua pihak kemudian disaran melantik kerajaan pakar untuk mengendalikan Tebing Barat dan Gaza menjelang pilihan raya akan datang.

Rancangan itu bagaimanapun dilihat sukar dipersetujui mana-mana pihak.

Kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dipercayai tidak mungkin menerima cadangan penuh itu.