DUNIA
Mesir sahkan gelang emas berusia 3,000 tahun hilang dari muzium

Pelancong melihat koleksi artifak yang dipamerkan di Muzium Mesir di Kaherah. - Gambar fail Reuters
KAHERAH: Seutas gelang emas berusia 3,000 tahun dilaporkan hilang dari makmal pemuliharaan di Muzium Mesir, Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Antikuiti negara itu.
Gelang tersebut digambarkan sebagai jalur emas yang dihiasi dengan “manik sfera batu lapis lazuli” dipercayai berasal dari era pemerintahan Firaun Amenemope daripada Dinasti ke-21 Mesir.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, kementerian itu tidak menjelaskan bila kali terakhir artifak berkenaan dilihat.
Media tempatan melaporkan, kehilangan itu hanya disedari beberapa hari lalu ketika kerja inventori dilakukan menjelang pameran Treasures of the Pharaohs yang dijadual berlangsung di Rom pada penghujung Oktober ini.Kementerian turut memaklumkan, siasatan dalaman telah dibuka, manakala unit antikuiti di semua lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan darat di seluruh Mesir telah dimaklumkan mengenai kes itu.
Kata kementerian itu lagi, pengumuman awam ditangguhkan bagi membolehkan siasatan berjalan, di samping pemeriksaan penuh ke atas keseluruhan koleksi makmal sedang dilaksanakan.
Menurut pakar Mesir purba, Jean Guillaume Olette-Pelletier gelang itu ditemui di Tanis, Delta Nil timur, dalam makam Raja Psusennes I, di mana Amenemope telah dikebumikan semula selepas makam asalnya dirompak.
“Ia bukan yang tercantik, tetapi dari sudut saintifik ia antara objek paling menarik,” katanya kepada AFP sambil menjelaskan gelang itu direka ringkas menggunakan aloi emas yang tahan ubah bentuk.
Emas dalam budaya Mesir purba dipercayai melambangkan “daging para dewa" manakala batu lapis lazuli yang diimport dari kawasan Afghanistan ketika ini pula dikaitkan dengan “rambut para dewa.”
Muzium Mesir di Medan Tahrir kini menempatkan lebih 170,000 artifak, termasuk topeng emas pengebumian Raja Amenemope yang terkenal.
Kehilangan ini berlaku hanya beberapa minggu sebelum perasmian Muzium Agung Mesir yang dijadualkan pada 1 November, projek besar yang diangkat sebagai penanda aras budaya penting di bawah pentadbiran Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Antara koleksi ikonik yang bakal dipindahkan menjelang pembukaan muzium baharu itu termasuk khazanah dari makam Firaun Tutankhamun.
Pada 2021, Mesir turut menganjurkan perarakan berprofil tinggi yang memindahkan 22 mumia diraja, termasuk Ramses II dan Ratu Hatshepsut ke Muzium Tamadun Mesir di Kaherah Lama - sebahagian daripada usaha negara itu memperkukuh infrastruktur muzium dan merancakkan sektor pelancongan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami