ANKARA: Mesyuarat Menteri Luar R4 yang menghimpunkan Turkiye, Mesir, Pakistan dan Arab Saudi bermula di Istanbul pada Jumaat, dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, mempengerusikan mesyuarat itu, lapor Anadolu Ajansi.
Mekanisme R4 ditubuhkan oleh Turkiye, Mesir, Pakistan dan Arab Saudi berasaskan prinsip pemilikan serantau, dengan matlamat menyokong kestabilan berkekalan serta memperkukuh dialog mengenai isu serantau.
Dalam ucapannya pada mesyuarat itu, Fidan dijangka menegaskan bahawa keselamatan serantau memerlukan negara di rantau berkenaan memikul tanggungjawab utama.
Beliau juga dijangka menyatakan bahawa Turkiye mengutamakan pengukuhan mekanisme kerjasama berasaskan pemilikan serantau selaras dengan pendekatan itu.
Fidan dijangka menekankan bahawa pertikaian sedia ada tidak boleh dibiarkan mencetuskan pertikaian lain, konflik tidak boleh merebak ke kawasan baharu dan ketegangan serantau tidak boleh meningkat sehingga mencetuskan ketidakstabilan yang lebih meluas.
Beliau juga dijangka mengulangi pendirian bahawa pendudukan berterusan Israel di wilayah Palestin, pendirian tidak berkompromi yang menjejaskan usaha damai masyarakat antarabangsa serta tindakan agresif Israel yang meluas ke seluruh rantau merupakan punca utama ketegangan di Asia Barat.
Fidan dijangka turut menegaskan bahawa pertikaian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran hanya boleh diselesaikan melalui diplomasi dan dialog, sambil menyatakan bahawa pendekatan ketenteraan tidak menawarkan penyelesaian berkekalan, memburukkan kerentanan serantau dan membawa risiko konflik yang lebih meluas.
Sebagai respons terhadap serangan terbaharu Houthi yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam di Arab Saudi, Fidan dijangka menegaskan semula sokongan Turkiye terhadap usaha melindungi keselamatan Arab Saudi.
Beliau juga dijangka menekankan kepentingan perpaduan dan pendekatan keselamatan kolektif yang ditunjukkan menerusi pakatan pertahanan baharu Makkah, yang ditubuhkan pada Ogos antara Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan.
-- BERNAMA-ANADOLU