LONDON: Empat orang cedera dan sistem pengangkutan terjejas di Brussels ketika pihak berkuasa meluaskan amaran cuaca jingga ke ibu negara susulan Ribut Austen, lapor Anadolu Ajansi, memetik laporan media pada Jumaat.
Tiga orang cedera di Brussels selepas pokok tumbang di teres kafe dan dahan yang tumbang menimpa seorang lagi, lapor Brussels Times.
Institut Meteorologi Diraja juga memperluas amaran jingga untuk tiupan angin ke Wilayah Ibu Kota akibat Ribut Austen.
Amaran itu dilanjutkan ke Wilayah Ibu Kota Brussels, serta wilayah Flemish Brabant dan Walloon Brabant, menurut laporan itu.
"Puluhan bantuan kecemasan sedang dilaksanakan dan kira-kira 70 yang lain masih menunggu perhatian," kata Walter Derieuw, jurucakap pasukan bomba Brussels.
Kerosakan akibat ribut juga telah mengganggu beberapa perkhidmatan kereta api dan laluan trem di Brussels, menurut pengendali pengangkutan awam STIB-MIVB.
Sementara itu, Pelabuhan Antwerp-Bruges mengesahkan bahawa trafik perkapalan di pelabuhan masih terhenti, tanpa ketibaan atau perlepasan dijadualkan.
-- BERNAMA-ANADOLU