NEW DELHI: Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang dijadual berlangsung di Laos bulan depan akan membincangkan semula perjanjian perdagangan 15 tahun dengan India.

Semakan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) bertujuan menjadikan ia lebih relevan kepada komuniti perniagaan dan syarikat.

"Kami akan membincangkan perkara itu pada Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN akan datang," kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn kepada Bernama pada Isnin.

Pada tahun lalu, ASEAN dan India bersetuju untuk menyelesaikan semakan pada 2025, namun ditanya jika ia akan dimuktamadkan tahun depan, Kao tidak memberi sebarang keputusan.

Dalam perbincangan dengan Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar, Kao membangkitkan isu mengenai India menjadi sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang berkuat kuasa pada 2022.

"Kami percaya ia (penyertaan India) adalah demi kepentingan kita semua," katanya semasa menyampaikan syarahan di badan pemikir Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA) pada Isnin.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas melibatkan negara-negara ASEAN dan rakan dagangan utamanya iaitu Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

India menarik diri daripada rundingan RCEP pada November 2019 dan negara ini merupakan rakan dagangan kelapan terbesar ASEAN.

-- BERNAMA