DUNIA
Mesyuarat Tergempar OIC: Malaysia ulang kecaman rancangan Israel rampas Gaza, desak tindakan segera

Mohamad Hasan menegaskan dunia tidak boleh berdiam diri dan OIC mesti mengambil tindakan bersepadu untuk mendesak gencatan senjata kekal. -Foto fail
JEDDAH: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk menawan Gaza melalui kuasa ketenteraan dan menyifatkannya sebagai cubaan mengekalkan pendudukan haram ke atas bumi Palestin.
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam rancangan Israel untuk menawan Gaza secara ketenteraan dan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta cubaan mengekalkan pendudukan haram, yang menggugat penyelesaian dua negara.
- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, merujuk kepada operasi Gaza Humanitarian Foundation yang menyebabkan lebih 1,700 kematian awam sejak Mei, dan menyeru agar bantuan kemanusiaan diketuai PBB dibenarkan masuk tanpa halangan.
- Malaysia menyeru OIC mengambil tindakan bersepadu untuk mendesak gencatan senjata kekal, memecah sekatan bantuan dan menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, serta kekal komited memperjuangkan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
"Malaysia menolak tindakan penjajahan, penempatan haram dan pengusiran penduduk oleh rejim Zionis,” kata Mohamad dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini, pada Isnin.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal kerana rakyat Palestin terus dinafikan hak untuk menentukan hala tuju negara sendiri, sementara Israel sudah lama diiktiraf sebagai anggota penuh PBB.
Mohamad turut mengecam taktik Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap penduduk Gaza.
Beliau merujuk kepada operasi Gaza Humanitarian Foundation (GHF), yang menyaksikan lebih 1,700 orang awam terkorban sejak Mei lalu ketika cuba mendapatkan bantuan makanan.
“Israel harus membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa halangan, dengan diketuai PBB.
"Peranan Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) tidak boleh diganti, Malaysia akan terus menyokong gerakan ini,” ujarnya.
Mohamad menegaskan dunia tidak boleh berdiam diri dan OIC mesti mengambil tindakan bersepadu untuk mendesak gencatan senjata kekal, memecah sekatan bantuan serta menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
“Malaysia kekal teguh memperjuangkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelasnya.
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami