Skip to main content

Bisnes

Citaglobal lulus penempatan RM42.1 juta, projek RM657 juta

Citaglobal Peroleh Kelulusan Pemegang Saham Bagi RM42.1 Juta Penempatan Persendirian dan Usahasama (JV) Citaglobal Tower Foto: Citaglobal
Citaglobal berkata, kelulusan tersebut diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Rabu, sekali gus membolehkan kumpulan beralih ke fasa pelaksanaan seterusnya bagi kedua-dua cadangan berkenaan.

KUALA LUMPUR: Citaglobal Bhd memperoleh kelulusan pemegang saham bagi cadangan penempatan persendirian bernilai RM42.1 juta serta projek usaha sama pembangunan Citaglobal Tower dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM657 juta.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat itu berkata, kelulusan tersebut diperoleh pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada Rabu, sekali gus membolehkan kumpulan beralih ke fasa pelaksanaan seterusnya bagi kedua-dua cadangan berkenaan.

Cadangan penempatan persendirian melibatkan penerbitan 46.77 juta saham baharu kepada Berjaya Securities Sdn Bhd pada harga RM0.90 sesaham, yang dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM42.1 juta.

Menurut Citaglobal, hasil tersebut akan digunakan bagi membiayai keperluan kumpulan termasuk pembayaran berkaitan pemerolehan tanah di Gebeng, pelaburan dalam perniagaan sedia ada seperti tenaga boleh diperbaharui dan bioenergi, serta modal kerja.

Pada masa sama, pemegang saham turut meluluskan cadangan usahasama antara anak syarikat tidak langsung milik penuh Citaglobal dengan Varia Crest Sdn Bhd untuk membangunkan projek guna campur di Jalan Tun Razak, yang dikenali sebagai Citaglobal Tower.

Projek itu, dengan GDV dianggarkan RM657 juta, akan merangkumi menara pejabat Gred A, pangsapuri servis, lot komersial serta kemudahan parkir podium bertingkat.

Di bawah struktur usahasama tersebut, Varia Crest akan bertanggungjawab terhadap pembangunan, pembinaan, pemasaran dan pembiayaan projek, manakala Citaglobal menyumbang tanah dan berhak menerima pakej bernilai kira-kira RM118 juta termasuk bayaran tunai, pemilikan ruang pejabat dan pertimbangan bukan tunai.

Cadangan usaha sama itu dijangka menyumbang keuntungan kira-kira RM26.7 juta kepada kumpulan, tertakluk kepada pemenuhan syarat berkaitan.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kelulusan tersebut memberikan mandat kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan langkah seterusnya, di samping meningkatkan fleksibiliti modal kumpulan.

Beliau berkata, penempatan persendirian itu akan menyokong keperluan pembiayaan, manakala projek usahasama berkenaan membolehkan kumpulan merealisasikan nilai aset tanah strategik di Kuala Lumpur secara berdisiplin.

"Citaglobal juga akan mengekalkan kehadiran komersial jangka panjang dalam pembangunan siap melalui pemilikan ruang pejabat, selain mengurangkan pendedahan kepada pembiayaan pembangunan secara langsung," katanya.

Menurut kenyataan itu, cadangan berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Must Watch Video

Advertisement