META akan melancarkan perkhidmatan langganan berbayar yang membolehkan pengguna Facebook dan Instagram mengesahkan akaun mereka.

Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg dalam pengumuman di Facebook pada Ahad berkata ciri baharu yang dipanggil Meta Verified itu membolehkan pengguna mendapat lencana biru yang menawarkan perlindungan penyamaran tambahan terhadap akaun palsu, dan mendapat akses terus kepada sokongan pelanggan.



Langganan bermula pada harga AS$11.99 untuk akses web, atau AS$14.99 sebulan pada sistem pengendalian iOS Apple dan Android.

Buat permulaan, Meta Verified akan dilancarkan di Australia dan New Zealand minggu ini, tulis hantaran itu.

Pendapatan Meta merosot disebabkan perubahan privasi yang dibuat oleh Apple pada tahun 2021 yang mengehadkan keupayaannya menjejaki aktiviti internet pengguna untuk sasaran iklan.

Meta berkata pada Februari lalu perubahan polisi Apple itu akan menyebabkan kehilangan pendapatan lebih AS$10 bilion daripada pengiklanan sepanjang 2022, iaitu sekitar 8 peratus daripada jumlah pendapatannya pada 2021.

Meta terpaksa melakukan langkah penjimatan kos besar-besaran, termasuk mengumumkan pengurangan jumlah tenaga kerja sehingga sekitar 11,000 orang, atau 13 peratus jumlah kakitangannya.

Perkhidmatan langganan baharu Meta itu dilihat sama seperti konsep Twitter Blue oleh Elon Musk yang membolehkan pengguna mengesahkan profil Twitter mereka pada langganan sekitar AS$8 sebulan.

Pelancaran penuh Twitter Blue, yang pertama kali dilancarkan pada November, telah ditangguhkan selepas ia disalahgunakan oleh akaun yang menyamar sebagai syarikat dan selebriti.

Zuckerberg berkata Meta Verified akan membenarkan pengguna mengesahkan akaun mereka dengan kad pengenalan dikeluarkan kerajaan.

Sumber rapat dengan syarikat itu menjelaskan bahawa kad pengenalan rasmi diperlukan untuk mengesahkan akaun dan bagi mengelak penyamaran akaun.

Meta Verified juga difahamkan akan mendapat akses kepada lebih banyak ciri "untuk meningkatkan keterlihatan dan jangkauan", seperti penonjolan dalam carian dan pengesyoran.