AUSTRALIA dan Belanda mengumumkan bahawa satu tindakan undang-undang secara bersama terhadap Rusia telah dimulakan di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung pesawat MH17 yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri Australia Scott Morrison dan Menteri Luar Marise Payne dalam satu kenyataan pada Isnin, Rusia seharusnya bertanggungjawab atas insiden menjatuhkan pesawat itu mengikut undang-undang antarabangsa.

Mereka juga berpandangan bahawa tindakan menerusi agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu merupakan langkah ke hadapan untuk mendapatkan keadilan buat 298 mangsa tragedi berkenaan.

“Sehingga kini, Rusia masih enggan mengambil tanggungjawab atas peranannya dalam insiden ini,” kata Payne pada Ahad.

Australia berkata bahawa insiden tersebut jelas melanggar Piagam Penerbangan Awam yang melindungi pesawat awam dari senjata api.

Kerajaan Belanda pula berkata, Majlis Keselamatan PBB telah dimaklumkan mengenai langkah berkenaan.

“Kematian 298 orang awam, termasuk 196 rakyat Belanda, tidak boleh dan tidak patut dibiarkan tanpa sebarang tindakan susulan. Keadaan semasa di Ukraine juga menunjukkan kepentingan langkah ini,” jelas Menteri Luar Belanda Wopke Hoekstra dalam satu kenyataan.

Tindakan bersama di bawah Artikel 84 Piagam Penerbangan Awam Antarabangsa itu berbeza daripada perbicaraan kes pembunuhan membabitkan empat suspek di mahkamah Belanda.

Keputusan bagi perbicaraan kes bunuh yang membabitkan tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine dijangka berlangsung menjelang penghujung tahun ini.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine.

Penyiasat dan pendakwa raya antarabangsa mengesahkan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh senjata darat-ke-udara buatan Rusia.

Moscow bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam tragedi berkenaan.

Menurut Payne, Australia dan Belanda sebelum ini cuba mengusahakan rundingan bersama Rusia berhubung insiden tersebut, namun Rusia menarik diri daripada perbincangan itu pada 2020.