KONFLIK perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China nampaknya berterusan untuk seketika, dan terkini, Microsoft antara syarikat Amerika yang sangat terkesan dengan perbalahan ini.

Microsoft telah meminta para pekerja mereka di China untuk memberi pertimbangan berpindah ke negara lain, khususnya dengan isu sekatan perdagangan yang semakin diperhebatkan oleh kerajaan AS terhadap China.

Reuters dan Wall Street Journal melaporkan bahawa Microsoft telah meminta seramai 800 pekerja China mereka yang bertugas dalam bahagian pembelajaran mesin dan perkomputeran awanan untuk berpindah ke negara-negara lain, dengan pilihan yang diberikan termasuk AS, Ireland, Australia, dan New Zealand.

Microsoft menjawab pertanyaan Wall Street Journal mengenai perkara ini dan mengatakan bahawa penawaran berpindah negara ialah sesuatu yang ditawarkan kepada ramai para pekerja syarikat tersebut, dan penawaran terbaharu ini adalah salah satu daripadanya.

Kebelakangan ini, kerajaan AS dilihat mengetatkan lagi sekatan perdagangan di mana bukan sahaja produk-produk elektronik yang dibuat dengan teknologi AS, tetapi juga komponen-komponen elektronik yang dibangunkan dan boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan dan kemajuan kecerdasan buatan tidak lagi boleh dijual kepada syarikat-syarikat di China.

Perang dingin teknologi ini nampaknya akan berterusan sehinggalah AS dan China memaksa pihak masing-masing untuk terus membuat keputusan-keputusan buruk yang tidak akan memihak kepada sesiapa, sama ada masing-masing ataupun negara-negara yang lain. -Amanz