[KOLUMNIS] Mengapa virus HIV sukar dihapuskan?
![[KOLUMNIS] Mengapa virus HIV sukar dihapuskan? [KOLUMNIS] Mengapa virus HIV sukar dihapuskan?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2023-12/61701425571_TBAIDS.jpg)
Setakat penghujung tahun 2025, Malaysia mencatatkan perkembangan positif dalam usaha memerangi HIV dengan penurunan keseluruhan kes baharu. - Gambar hiasan Pexels/via WEF
SEBUT sahaja wabak HIV, pasti ramai kalangan kita akan terfikir tentang ancaman virus berbahaya ini yang merebak melalui aktiviti seks bebas dan penyalahgunaan jarum suntikan dadah. Realitinya, jutaan nyawa hilang di seluruh dunia sejak awal 1980-an akibat HIV. Malah, ia turut meninggalkan kesan mendalam terhadap struktur sosial, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat tanpa mengira sempadan negara, usia, mahupun latar belakang individu.
Ramai mungkin tertanya-tanya mengapa HIV sukar untuk ditangani walaupun sudah lebih 40 tahun berlalu. HIV (Human Immunodeficiency Virus), atau Virus Kurang Imun Manusia adalah virus yang menyerang sistem imun tubuh manusia, khususnya sel darah putih (CD4) dalam badan manusia.
Sel CD4 berperanan penting dalam pertahanan imun terhadap jangkitan dan penyakit, yang membantu kita kekal sihat. Apabila HIV memasuki tubuh, virus menyerang dan menghancurkan sel-sel ini, mengakibatkan pengurangan jumlah sel CD4 dalam badan.
Setakat penghujung tahun 2025, Malaysia mencatatkan perkembangan positif dalam usaha memerangi HIV dengan penurunan keseluruhan kes baharu. Namun, terdapat kebimbangan serius terhadap peningkatan jangkitan dalam kalangan golongan muda.
Statistik terbaru mendedahkan bahawa 75 peratus daripada kes baharu melibatkan individu berumur antara 20 hingga 39 tahun. Dalam tahun 2024, sebanyak 3,185 kes baharu dilaporkan, menunjukkan penurunan kecil berbanding 3,222 kes pada tahun 2023.
Secara keseluruhan, negara telah mencatatkan penurunan sebanyak 54 peratus dalam jangkitan baharu sejak tahun 2002. Walaupun ini menunjukkan kemajuan, perhatian perlu diberikan kepada golongan muda yang masih berisiko tinggi, dan usaha pencegahan serta pendidikan perlu diperkuatkan untuk memastikan perkembangan positif ini berterusan.
Jika HIV tidak dirawat, bilangan sel CD4 akan jatuh di bawah tahap tertentu, dan individu tersebut akan dianggap menghidap AIDS. Pada tahap ini, sistem imun menjadi sangat lemah, menjadikannya terdedah kepada jangkitan oportunistik yang boleh mengancam nyawa.
Setelah HIV memasuki badan manusia, virus ini akan melekat pada permukaan sel CD4 dan menyuntik bahan genetiknya ke dalam sel tersebut. Dalam sel CD4, HIV mengambil alih sel untuk menggandakan diri dan menghasilkan lebih banyak salinan partikel virus yang boleh menjangkiti sel lain. Proses ini menyebabkan kerosakan dan kematian sel CD4 yang terus melemahkan sistem imun.
Secara spesifik, terdapat beberapa alasan mengapa HIV sukar dirawat dan dihapuskan sepenuhnya dari tubuh:
1. HIV bersembunyi dalam sel CD4 dengan menyuntik bahan genetiknya ke dalam sel tersebut. Ini membuatkan virus ini tidak selalu dapat dikesan oleh sistem imun dan rawatan, kerana bahan genetik virus menjadi sebahagian daripada sel yang dijangkiti. Walaupun dengan ubatan canggih, HIV masih boleh bersembunyi dalam badan, menjadikannya sukar untuk dihapuskan sepenuhnya.
2. HIV juga boleh bersembunyi dalam sel-sel imun yang tidak aktif dan lokasi lain dalam tubuh, membentuk apa yang dikenali sebagai "reservoir". Dalam keadaan ini, virus tidak aktif, tidak dapat dikesan oleh sistem imun atau ubat antiretroviral, dan virus boleh diaktifkan semula pada bila-bila masa. Jika rawatan dihentikan atau sistem imun melemah, virus boleh bangkit semula dan menggandakan diri, membolehkan HIV kembali menyerang tubuh.
3. HIV mempunyai keupayaan untuk bermutasi. Setiap kali virus bereplikasi atau menggandakan diri, ada kemungkinan untuk berlakunya perubahan genetik yang membolehkan virus ini menghasilkan varian baru dengan cepat. Perubahan genetik ini membolehkan HIV mengelak daripada dikesan oleh sistem imun dan mengurangkan keberkesanan rawatan antiretroviral.
Walaupun HIV tidak dapat disingkirkan sepenuhnya, rawatan terapi antiretroviral (ART) sangat berkesan dalam mengawal virus. ART berfungsi dengan menghalang HIV daripada menggandakan diri, yang membantu menurunkan jumlah virus dalam darah ke tahap yang tidak dapat dikesan.
Dengan jumlah virus yang rendah, risiko penularan kepada orang lain juga berkurang, membolehkan individu yang menjalani ART untuk hidup dengan sihat dan produktif. Rawatan ini tidak hanya memelihara kesihatan individu yang dijangkiti, tetapi juga membantu mengekalkan fungsi sistem imun, walaupun HIV masih ada dalam bentuk tidak aktif dalam tubuh.
Saintis sentiasa terus mencari strategi seperti penghapusan reservoir HIV, pembangunan vaksin, dan imunoterapi untuk mengatasi cabaran ini dan akhirnya pesakit mencapai penyembuhan penuh. Terima kasih kepada terapi antiretroviral, orang yang hidup dengan HIV kini dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.
* Prof. Madya Dr. Hamidun Bunawan adalah Pensyarah di Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


