MEMASANG semula Windows sekiranya komputer bermasalah adalah langkah akhir yang kerap saya gunakan suatu ketika dahulu.

Majoriti isu akan hilang secara pantas menerusi langkah ini. Tetapi untuk melakukannya, pelbagai langkah perlu diambil dan agak kompleks bagi mereka yang kurang arif.

Proses pemasangan semula sistem operasi (OS) akan menjadi lebih mudah menerusi ujian Beta yang sedang dilakukan oleh Microsoft.

Menurut laman Windows Latest, pilihan “Fix Problems using Windows Update” telah muncul pada ujian Beta terkini Windows 11.

Pilihan memasang semula OS boleh dilakukan dengan hanya satu klik butang “Reinstall now”. Terdapat nota pada skrin yang menerangkan aplikasi, tetapan dan fail peribadi pengguna tidak akan dipadam menerusi ciri ini.

Ia adalah langkah yang sudah agak lama saya inginkan semasa masih menggunakan Windows.

Bagi pengguna Windows semasa, ciri ini jika diberikan pada versi penuh kelak akan memudahkan proses membaiki Windows 11 yang bermasalah. -Amanz