Mikroplastik dalam air hujan cetus amaran kesihatan di Jakarta

Kementerian Kesihatan pada Selasa menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pendedahan mikroplastik selepas penyelidik mengesan zarah plastik dalam air hujan di seluruh ibu kota. - Foto hiasan/Unsplash
JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia pada Selasa menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pendedahan mikroplastik selepas penyelidik mengesan zarah plastik dalam air hujan di seluruh ibu kota.
Menterinya, Budi Gunadi Sadikin berkata, mikroplastik yang masuk ke dalam tubuh manusia boleh kekal untuk tempoh yang lama dan mungkin menimbulkan risiko kesihatan.
"Apabila mikroplastik memasuki badan, ia cenderung kekal di situ untuk masa yang lama. Cara paling selamat untuk melindungi diri adalah dengan memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah," katanya seperti dipetik oleh Metro TV News.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar mengelakkan aktiviti luar sejurus selepas hujan dan menyeru agar usaha memperkukuh pengurangan pencemaran plastik di peringkat punca.
"Kita mesti mengurangkan sumber pencemaran mikroplastik. Peranan Kerajaan Wilayah Jakarta amat penting," katanya.
Gabenor Jakarta, Pramono Anung berkata, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) serta Agensi Alam Sekitar bandar raya itu melaporkan penemuan berkenaan.
"Kami akan mengambil langkah segera berkaitan sisa plastik. Contohnya, kami akan mempercepat projek seperti loji jana kuasa sisa kepada tenaga (PLTSa)," katanya.
Beliau turut memaklumkan yang kualiti udara di ibu kota bertambah baik dalam beberapa hari kebelakangan ini, bertepatan dengan Festival Larian Jakarta selama empat hari yang berakhir pada 26 Okt.
"Selama tiga hari lepas, bandar ini kelihatan hijau dan sangat bersih - itulah keadaan kita sekarang," katanya.
Kajian terbaharu oleh BRIN mendapati zarah mikroplastik wujud dalam setiap sampel air hujan yang dikumpul di Jakarta sejak 2022, menunjukkan tahap pencemaran bandar yang meluas.
Zarah itu berpunca daripada gentian pakaian sintetik, pelepasan kenderaan dan pembakaran terbuka, dengan purata sekitar 15 zarah semeter persegi sehari.
Ketua Penyelidik, Muhammad Reza Cordova berkata, penemuan itu menunjukkan pencemaran plastik kini telah sampai ke atmosfera.
"Plastik tidak lagi berakhir di lautan. Ia naik ke udara, dibawa angin dan kembali turun bersama hujan," katanya sambil menjelaskan yang zarah mikroskopik itu boleh disedut atau tertelan, sekali gus menimbulkan risiko kesihatan jangka panjang.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


